Monday, December 21, 2009

Malam Ramah Mesra Ranting Taman Pulasan











20hb Disember, 2009 - Seramai hampir 50 orang anggota Ranting Taman Pulasan telah hadir ke malam Ramah Mesra Ranting Taman Pulasan bersama pimpinan Cabang Rasah yang diketuai oleh Tn Hj Muhammed Kamel, Ketua Cabang Rasah. Sdr Arjun selaku penasihat Ranting Taman Pulasan bersama-sama dengan pimpinan Ranting Taman Pulasan terutamanya Sdr Siva, Ketua Ranting dan Sdr Chia, Timbalan Ketua Ranting telah berjaya menganjurkan majlis tersebut. Turut hadir dan menyampaikan ucapan adalah Sdr Rebin Birham, Ketua AMK N9. Seramai 10 orang anggota baru turut menyerahkan borang pada malam tersebut. Ini telah berjaya meningkatkan keanggotaan Ranting Taman Pulasan melebihi 100 orang.
Tahniah diucapkan kepada semua pimpinan dan anggota Ranting Taman Pulasan. Adalah diharapkan majlis seperti ini akan dapat diadakan di setiap Ranting, sekurang-kurangnya sekali setiap 3 bulan.

Saturday, November 28, 2009

Ibadah Korban sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha

Sempena dengan Hari Raya Aidil Adha tahun ini, Ketua Cabang Rasah, Tuan Haji Muhammed Kamel dan beberapa orang dermawan lain telah menyumbangkan sebanyak 3 ekor lembu kepada Keadilan Cabang Rasah sebagai sedekah untuk ibadah korban. Butiran mengenai majlis tersebut adalah seperti di bawah:

27 November, 2009 - selepas solat Aidil Adha, bertempat di Surau LBJ Peringkat 3. Sebanyak 2 ekor lembu.

28 November, 2009 - 8.30 pagi, bertempat di Rumah rakyat Labu Hilir. Sebanyak 1 ekor lembu.

Semua dijemput hadir. Semoga Allah menganugerahkan nikmat dan rezeki yang berterusan kepada semua dermawan tersebut....Amin.

Tuesday, November 17, 2009

Konvensyen PKR Negeri Sembilan 2009

PKR Negeri Sembilan akan mengadakan satu konvensyen pada 22hb November 2009 ini. Butiran program seperti berikut:

KONVENSYEN PKR NEGERI SEMBILAN 2009
TEMA: MENGGILAP HARAPAN RAKYAT.
TARIKH: 22 hb. November 2009 / AHAD.
MASA: 8.30 pagi - 5.30 petang.
TEMPAT: SEKOLAH TINGGI CHUNG HUA, JLN TUN DR ISMAIL, SEREMBAN.
TERBUKA HANYA KEPADA ANGGOTA PKR NEGERI SEMBILAN SAHAJA

Semua anggota parti dari Cabang Rasah dijemput hadir ke konvensyen ini. Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan amanatnya pada konvensyen ini.

Maklumat lanjut boleh hubungi Setiausaha Kerja MPN NS, saudara Mustafa Kamal (016-631 9585)

Sunday, November 1, 2009

Aktivis Keadilan Dimasukkan Ke Hospital



Baru-baru ini Sdr Razak, Timbalan Ketua AMK Cabang Rasah telah dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Pilah akibat pneumonia paru-paru dan beliau telah selamat menjalani rawatan dan dibenarkan keluar.

Ketika artikel ini ditulis, Sdr Arjun seorang aktivis parti Keadilan turut dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sejak hari Sabtu, 31 Oktober. Beliau sekarang berada di Wad CCU 4C.

Kita mendoakan agar kedua-dua Sdr Razak dan Sdr Arjun akan segera sembuh.

Friday, October 30, 2009

Persiapan Menghadapi PRU 13


Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPRP), YB Sdr Saifuddin Nasution telah memaklumkan penubuhan Sekretariat Pilihanraya Pakatan Rakyat baru-baru ini. Ianya akan dianggotai oleh seramai 6 orang dari setiap parti komponen. Penubuhan sekretariat tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama dan penyelarasan diperingkat tertinggi. Mesyuarat akan diadakan setiap bulan dan dipengerusikan secara bergilir antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Selaras dengan itu juga, JPRP akan mengadakan road show ke seluruh negara bagi mempersiapkan jentera pilihanraya negeri bagi menghadapi PRU 13. Pihak JPR Negeri Sembilan yang diketuai oleh Sdr Muhammad Kamel, yang juga Ketua Cabang Rasah, akan memaklumkan tarikh berkenaan. Sasaran JPRP adalah seramai 1,000 petugas bagi setiap cabang.
Tugas berat menanti seluruh AJK Cabang Rasah dan Ketua-Ketua Ranting bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai. Namun tidak ada yang mustahil sekiranya kita semua mampu bekerja sebagai satu pasukan dan menumpukan pada matlamat tersebut. Kami yakin anda semua boleh lakukan!

Monday, October 12, 2009

Kalah Bukan Bererti Mengalah

Keputusan PRK N31 Bagan Pinang telah pun diketahui umum. Calon rasuah, Isa Samad telah menang dengan majoriti yang meningkat. UBN pasti akan mencanangkan ke seluruh negara bahawa mereka telah kembali mendapat sokongan rakyat.


Bagi petugas Pakatan Rakyat, khususnya dari Keadilan, kekalahan ini pastinya sesuatu yang amat sukar diterima. Masakan tidak, setelah berpenat lelah, bersengkang mata selama lebih satu minggu, wang ringgit yang telah dibelanjakan, meninggalkan keluarga tersayang namun akhirnya kekalahan yang diterima.


Jangan putus asa. Kita cuma tewas satu pertempuran tetapi kita akan bangkit kembali untuk memenangi satu peperangan. Matlamat kita jelas, untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-13!


Namun begitu, antara pengajaran yang amat penting untuk kita perbetulkan adalah perjuangan memerlukan kita semua untuk bersatu menentang musuh yang sama. Perbezaan pendapat, perselisihan dan sebagainya dalam mana kita berorganisasi adalah perkara yang lumrah. Hari ini kita tidak bersetuju dengan ketua, esok bila kita pula jadi ketua, pasti ada pihak yang tidak sehaluan dengan kita.


Namun apabila kita dipanggil untuk berjuang, lupakan dahulu sengketa antara sesama kita. Bersatu bukan bermakna kita bersetuju, tetapi bersatu memperjuangkan satu matlamat yang sama iaitu memastikan kemenangan Keadilan.


Tahniah dan terima kasih kepada semua petugas PRK N31 Bagan Pinang khususnya anggota-anggota Cabang Rasah. Sumbangan dan pengorbanan saudara dan saudari, tidak kira kecil atau besar cukup bermakna. Kuatkan tekad dan bulatkan azam, kejayaan pasti menanti kita!

Perginya Seorang Pejuang Reformasi...

Kita sekali lagi dikejutkan oleh berita sedih, kali ini pemergian Mejar (B) Muhammad Sultan Bin Ismail, seorang pejuang reformasi sejak 1998. Beliau telah kembali kerahmatullah pada 11hb Oktober, 2009, sekitar pukul 8mlm. Jenazah beliau dijangka akan dikebumikan hari ini sebelum Zohor di Tanah Perkuburan Islam, Batu 10 Jalan Labu.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Salam takziah ke atas keluarga Allahyarham....Al Fatihah.

Friday, October 9, 2009

Takziah buat Sdr Sabaruddin...

Seluruh AJK dan anggota Cabang Rasah merakamkan ucapan takziah kepada Sdr Sabaruddin Mohd Yassim, Naib Ketua Cabang Rasah dan keluarga di atas pemergian putera sulung beliau.

Kami turut merasai kesedihan yang dialami oleh beliau dan famili. Semoga roh anakanda beliau ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman. Al fatihah.

Cabang Rasah Menerajui Jentera Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang

Ketua Cabang Rasah, Tuan Haji Muhammad Kamel sedang meneliti hasil culaan pengundi luar yang dibuat oleh (dari kiri) Sdr Rahim Omar (ketua Ranting Mambau), Sdr Ahmad Al-Jufrey, Sdr Mohd Noor dan Ustazah Siti Maimun (Ketua Wanita Rasah)
Taklimat Gerak Kerja Pilihanraya oleh Tuan Haji Muhammed Kamel, Pengarah Pilihanraya Negeri Sembilan. Disebelah beliau adalah YB Fuziah Salleh, Pengarah Biro Latihan Pusat.

Kunjungan hormat YB Sivakumar, Timbalan Speaker DUN Perak (berdiri no. 4 dari kiri) ke Bilik Gerakan Utama

Kunjungan hormat YB Dominique Ng, ADUN N9 Padungan, Bandar Kuching, Sarawak
Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang sekali lagi menyaksikan Cabang Rasah memainkan peranan penting di dalam mengendalikan jentera pilihanraya Keadilan. Kempen PRK yang telah masuk hari ke-7 telah menyaksikan berbagai insiden panas dengan pihak BN sekali lagi menggunakan tektik keganasan dan ugutan disamping penyalahgunaan jentera kerajaan.
Ketua Cabang Rasah, Tuan Haji Muhammad Kamel telah diberi mandat selaku Pengarah Jentera Pilihanraya Negeri. Disamping beliau, antara anggota Cabang Rasah yang telah dilantik di dalam sekretariat utama adalah YB Chai Tong Chai, Sdr Sabaruddin, Sdr Saedi, Sdr Marvin, Sdr Hasnul dan Sdr Zulrisyah. Anggota Cabang Rasah yang lain turut bertungkus lumus membantu jentera. Antaranya adalah Sdr Siva (Ranting Taman Pulasan), Sdr Kevin, Sachi, Vicky, Mani (Ranting Bukit Mas), Sdr Rahim, Yusof (Ranting LBJ), Sdr Rahim Omar, Ustazah Siti Maimun, Sdr Mohd Noor, Sdr Ahmad Al-Jufrey, Sdr Mustafa Kamal, Sdr Zamri, Sdr Isaac, Sdr Norliziam (Ranting Mambau) dan lain-lain (maaf jika nama sdr/i tidak disebut, tetapi kami yakin sumbangan anda sungguh bermakna).

Melihat daripada sambutan dan kerjasama ini, kita berasa yakin jentera pilihanraya Rasah khususnya DUN Labu semakin mantap dan bersedia untuk merampas kerusi DUN Labu dari UMNO-BN!

Wednesday, September 16, 2009

Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang

Keadilan Cabang Rasah telah diamanahkan untuk mengetuai Jawatankuasa Daerah Mengundi 1(JDM) Ladang Atherton. Bilangan pengundi adalah seramai 516 orang di mana 90% adalah dari kaum India.
Sdr Marvin Madahvan telah dilantik sebagai ketua JDM dan Sdri Shamsiah selaku Setiausaha. JDM 1 juga akan turut dibantu oleh jentera Keadilan Perak yang diketuai oleh Tuan Hj Ismail Yusof. Parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS dan DAP Rasah akan turut bersama bertugas di JDM1.
Sekali lagi kami ingin mengajak seluruh anggota Keadilan Rasah khususnya untuk sama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan dari segi tenaga, masa dan wang ringgit bagi memastikan kejayaan calon Pakatan Rakyat.

Monday, September 7, 2009

Majlis Berbuka Puasa di Labu Hilir




6 Sep, 2009 - Majlis Berbuka Puasa Cabang Rasah telah diadakan di rumah Ketua Ranting Labu Hilir, Sdr Mohamad. Setelah menghabiskan hampir separuh hari menziarahi rumah penduduk-penduduk di sekitar Labu Hilir bagi menyampaikan bantuan, kami telah dijamu dengan juadah berbuka yang cukup istimewa disediakan oleh isteri Sdr Mohamad.

Majlis berbuka ini sepatutnya diadakan di Masjid Labu Hilir bersama dengan penduduk dan ahli kariah masjid. Walaubagaimanapun ianya terpaksa di tukar di saat-saat akhir ke rumah Sdr Mohamad setelah wujudnya halangan dari pihak-pihak tertentu. Menurut Tuan Haji Mohamad Kamil, beliau amat kesal kerana sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, masih ada golongan pimpinan tertentu yang cuba mempolitikkan masjid.


Setelah selesai berbuka, kami telah bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diketuai oleh Sdr Mohamad Yusof dari Angkatan Muda Keadilan Ranting LBJ. Beliau juga merupakan graduan Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan mantan pensyarah di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam.


Sebelum pulang, kami juga sempat mengadakan Mesyuarat Pengurusan Setiausaha Cabang dan Ranting. Berbagai isu dan maklumat telah dikongsi.


Bagi pihak pimpinan Cabang Rasah, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Sdr Mohamad dan keluarga. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Haji Mohamad Kamil yang telah sudi menaja sumbangan bantuan Ramadhan kali ini. Tidak dilupakan ucapan ribuan terima kasih di atas sumbangan beras oleh YB Dato' Kamarul Baharin, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan.


Kepada seluruh pimpinan dan Anggota Cabang Rasah, kami berharap program ini akan meningkatkan lagi keazaman dan komitmen kita untuk terus membantu rakyat. Semoga segala usaha kita diberkati oleh Allah SWT.



Bantuan Sempena Ramadhan Al-Mubarak - Siri 2

6 Sep, 2009 - Keadilan Cabang Rasah meneruskan lagi siri ke 2 ziarah dan bantuan untuk golongan yang kurang bernasib baik. Rombongan telah melawat penduduk di sekitar kawasan Kampung Kondok, Rumah Rakyat Labu Hilir, Kampung Labu Hilir, Batu 10 dan Batu 8. Ternyata masih ramai rakyat yang masih dibelenggu oleh kemiskinan di DUN Labu walaupun negara telah merdeka selama 52 tahun!
Berikut adalah foto-foto yang sempat dirakamkan;











Saturday, September 5, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang

Ucapan takziah dari kami kepada keluarga YB Azman Mohd Noor di atas pemergian Allahyarham...Al Fatihah...semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Akhirnya setelah 8 pilihanraya kecil di negeri orang, kali ini kita bakal menjadi tuan rumah. Pilihanraya Kecil ke-9, di Negeri 9, Bulan 9, tahun 2009!
Keadilan Cabang Rasah sekali lagi akan menghantar petugas (kali ini pasti lebih ramai!) bagi memastikan kemenangan mana-mana calon yang diputuskan oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Kita cuma perlu lagi 4 kerusi DUN untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan!
Disamping itu, harapan kita dengan adanya Pilihan Raya Kecil ini akan memberi peluang untuk Cabang Rasah mengumpul aktivis keadilan yang bakal dilatih seterusnya untuk menawan DUN Labu. Yang lebih penting semoga sebarang perbezaan dan salah faham sesama anggota Cabang Rasah dapat dileraikan dan kita kembali bersatu sebagai sebuah keluarga.
Selamat berjuang! Lawan Tetap Lawan!

Thursday, September 3, 2009

Program Cabang Turun ke Ranting Mambau




30 Ogos, 2009 - Usaha untuk mengukuhkan Cabang Rasah telah diteruskan dengan program bersama pimpinan dan anggota PKR Ranting Mambau. Majlis yang bermula pukul 9.45 mlm bertempat di rumah Ketua Ranting Mambau, Saudara Rahim Omar turut dihadiri oleh kira-kira 20 orang anggota Ranting. Turut hadir adalah AJK Cabang serta pimpinan dari Ranting LBJ dan Seremban Jaya. Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pimpinan Cabang dan anggota di peringkat Ranting. Disamping itu ianya telah berjaya mengenal pasti permasalahan yang berlaku di peringkat ranting. Melalui usaha ini juga diharapkan maklumat berkaitan dengan parti dan isu-isu semasa dapat diperjelaskan kepada akar umbi. Program ini telah diakhiri dengan jamuan makan sempena menyambut Kemerdekaan ke-52 yang disediakan oleh Ustazah Siti Maimun, yang juga merupakan Ketua Wanita Cabang Rasah. Sekalung tahniah dan syabas kepada pimpinan Ranting Mambau dan seluruh anggota atas kejayaan menganjurkan program ini.

Bantuan Sempena Ramadhan Al-Mubarak















30 Ogos, 2009 - Sempena bulan Ramadhan al-mubarak, PKR Cabang Rasah telah mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Rombongan seramai hampir lima belas anggota PKR Cabang Rasah diketuai oleh Ketua Cabang, Tuan Haji Muhamad Kamel Yassin telah menziarahi rumah penduduk di Kampung Gadong, Taman Gadong, Kampung Jijan dan LBJ. Sumbangan berupa barangan keperluan asas untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri disampaikan kepada golongan fakir miskin, orang-orang tua, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya. Penduduk yang ditemui mengucapkan rasa kesyukuran dan mengucapkan terima kasih atas sikap perihatin PKR Cabang Rasah khususnya dalam membantu mereka. Menurut Ketua Cabang Rasah, program yang serupa akan diadakan lebih kerap dan berharap seluruh anggota PKR akan dapat turut sama turun padang bagi membantu rakyat.