Wednesday, September 16, 2009

Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang

Keadilan Cabang Rasah telah diamanahkan untuk mengetuai Jawatankuasa Daerah Mengundi 1(JDM) Ladang Atherton. Bilangan pengundi adalah seramai 516 orang di mana 90% adalah dari kaum India.
Sdr Marvin Madahvan telah dilantik sebagai ketua JDM dan Sdri Shamsiah selaku Setiausaha. JDM 1 juga akan turut dibantu oleh jentera Keadilan Perak yang diketuai oleh Tuan Hj Ismail Yusof. Parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS dan DAP Rasah akan turut bersama bertugas di JDM1.
Sekali lagi kami ingin mengajak seluruh anggota Keadilan Rasah khususnya untuk sama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan dari segi tenaga, masa dan wang ringgit bagi memastikan kejayaan calon Pakatan Rakyat.

Monday, September 7, 2009

Majlis Berbuka Puasa di Labu Hilir




6 Sep, 2009 - Majlis Berbuka Puasa Cabang Rasah telah diadakan di rumah Ketua Ranting Labu Hilir, Sdr Mohamad. Setelah menghabiskan hampir separuh hari menziarahi rumah penduduk-penduduk di sekitar Labu Hilir bagi menyampaikan bantuan, kami telah dijamu dengan juadah berbuka yang cukup istimewa disediakan oleh isteri Sdr Mohamad.

Majlis berbuka ini sepatutnya diadakan di Masjid Labu Hilir bersama dengan penduduk dan ahli kariah masjid. Walaubagaimanapun ianya terpaksa di tukar di saat-saat akhir ke rumah Sdr Mohamad setelah wujudnya halangan dari pihak-pihak tertentu. Menurut Tuan Haji Mohamad Kamil, beliau amat kesal kerana sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, masih ada golongan pimpinan tertentu yang cuba mempolitikkan masjid.


Setelah selesai berbuka, kami telah bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diketuai oleh Sdr Mohamad Yusof dari Angkatan Muda Keadilan Ranting LBJ. Beliau juga merupakan graduan Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan mantan pensyarah di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam.


Sebelum pulang, kami juga sempat mengadakan Mesyuarat Pengurusan Setiausaha Cabang dan Ranting. Berbagai isu dan maklumat telah dikongsi.


Bagi pihak pimpinan Cabang Rasah, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Sdr Mohamad dan keluarga. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Haji Mohamad Kamil yang telah sudi menaja sumbangan bantuan Ramadhan kali ini. Tidak dilupakan ucapan ribuan terima kasih di atas sumbangan beras oleh YB Dato' Kamarul Baharin, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan.


Kepada seluruh pimpinan dan Anggota Cabang Rasah, kami berharap program ini akan meningkatkan lagi keazaman dan komitmen kita untuk terus membantu rakyat. Semoga segala usaha kita diberkati oleh Allah SWT.



Bantuan Sempena Ramadhan Al-Mubarak - Siri 2

6 Sep, 2009 - Keadilan Cabang Rasah meneruskan lagi siri ke 2 ziarah dan bantuan untuk golongan yang kurang bernasib baik. Rombongan telah melawat penduduk di sekitar kawasan Kampung Kondok, Rumah Rakyat Labu Hilir, Kampung Labu Hilir, Batu 10 dan Batu 8. Ternyata masih ramai rakyat yang masih dibelenggu oleh kemiskinan di DUN Labu walaupun negara telah merdeka selama 52 tahun!
Berikut adalah foto-foto yang sempat dirakamkan;











Saturday, September 5, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang

Ucapan takziah dari kami kepada keluarga YB Azman Mohd Noor di atas pemergian Allahyarham...Al Fatihah...semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Akhirnya setelah 8 pilihanraya kecil di negeri orang, kali ini kita bakal menjadi tuan rumah. Pilihanraya Kecil ke-9, di Negeri 9, Bulan 9, tahun 2009!
Keadilan Cabang Rasah sekali lagi akan menghantar petugas (kali ini pasti lebih ramai!) bagi memastikan kemenangan mana-mana calon yang diputuskan oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Kita cuma perlu lagi 4 kerusi DUN untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan!
Disamping itu, harapan kita dengan adanya Pilihan Raya Kecil ini akan memberi peluang untuk Cabang Rasah mengumpul aktivis keadilan yang bakal dilatih seterusnya untuk menawan DUN Labu. Yang lebih penting semoga sebarang perbezaan dan salah faham sesama anggota Cabang Rasah dapat dileraikan dan kita kembali bersatu sebagai sebuah keluarga.
Selamat berjuang! Lawan Tetap Lawan!

Thursday, September 3, 2009

Program Cabang Turun ke Ranting Mambau




30 Ogos, 2009 - Usaha untuk mengukuhkan Cabang Rasah telah diteruskan dengan program bersama pimpinan dan anggota PKR Ranting Mambau. Majlis yang bermula pukul 9.45 mlm bertempat di rumah Ketua Ranting Mambau, Saudara Rahim Omar turut dihadiri oleh kira-kira 20 orang anggota Ranting. Turut hadir adalah AJK Cabang serta pimpinan dari Ranting LBJ dan Seremban Jaya. Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pimpinan Cabang dan anggota di peringkat Ranting. Disamping itu ianya telah berjaya mengenal pasti permasalahan yang berlaku di peringkat ranting. Melalui usaha ini juga diharapkan maklumat berkaitan dengan parti dan isu-isu semasa dapat diperjelaskan kepada akar umbi. Program ini telah diakhiri dengan jamuan makan sempena menyambut Kemerdekaan ke-52 yang disediakan oleh Ustazah Siti Maimun, yang juga merupakan Ketua Wanita Cabang Rasah. Sekalung tahniah dan syabas kepada pimpinan Ranting Mambau dan seluruh anggota atas kejayaan menganjurkan program ini.

Bantuan Sempena Ramadhan Al-Mubarak















30 Ogos, 2009 - Sempena bulan Ramadhan al-mubarak, PKR Cabang Rasah telah mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Rombongan seramai hampir lima belas anggota PKR Cabang Rasah diketuai oleh Ketua Cabang, Tuan Haji Muhamad Kamel Yassin telah menziarahi rumah penduduk di Kampung Gadong, Taman Gadong, Kampung Jijan dan LBJ. Sumbangan berupa barangan keperluan asas untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri disampaikan kepada golongan fakir miskin, orang-orang tua, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya. Penduduk yang ditemui mengucapkan rasa kesyukuran dan mengucapkan terima kasih atas sikap perihatin PKR Cabang Rasah khususnya dalam membantu mereka. Menurut Ketua Cabang Rasah, program yang serupa akan diadakan lebih kerap dan berharap seluruh anggota PKR akan dapat turut sama turun padang bagi membantu rakyat.