Tuesday, February 25, 2014

Sejarah Cabang Rasah: Mambau, cawangan terawal Keadilan Nasional di Rasah.

Program Fakir Miskin Cabang Rasah pada hujung 2008 lalu.
 Lokasi di markas Ranting Mambau, Kampung Batu 3
Mungkin kebanyakan anggota baru Keadilan kini tidak begitu mengetahui sejarah awal parti ini ketika era Parti Keadilan Nasional (1999-2003) sebelum penggabungan Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia membentuk Parti Keadilan Rakyat pada pertengahan 2003 dahulu.

Antara bahagian (kini cabang) yang aktif ketika itu adalah Rasah dan satu-satunya cawangan (kini ranting) yang ditubuhkan adalah Keadilan Nasional Cawangan Mambau. 

Jika mengikut maklumat daripada Pendaftar Pertubuhan, PKN cawangan Mambau telah diluluskan penubuhannya pada 11 Ogos 2001. Cawangan ini berpusat di Kampung Batu 3 Mambau telah digerakkan oleh beberapa aktivis parti era Reformasi seperti Salimin Kamjan, YB Chai Tong Chai, Rahim Omar Bin Nordin, Ustazah Siti Maimun, Nazri Jani (Pak Ngah Nazri), Aljufri Ramdan dan Marvin Madahvan.

Ustazah Siti Maimun (kanan)
Ketua Wanita Ranting Mambau
Malah pusat cawangan ini iaitu rumah kediaman saudara Rahim Omar Bin Nordin menjadi markas utama dan pejabat operasi bagi Keadilan Bahagian Rasah ketika itu. Malah pada tahun 2001 juga, Presiden Keadilan Nasional, Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah hadir dalam satu program di sini.

Setelah pemansuhan cawangan yang diputuskan oleh Keadilan Pusat pada tahun 2004, penggerak-penggerak utama cawangan ini terus aktif dalam perjuangan parti. Setelah pindaan perlembagaan parti pada tahun 2009, istilah Bahagian dan Cawangan telah ditukar menjadi Cabang dan Ranting.

Selaras dengan pindaan tersebut, beberapa ranting ditubuhkan dan Ranting Mambau diaktifkan kembali namun tidak lagi perlu didaftarkan bawah Pendaftar Pertubuhan tetapi hanya berdaftar di bawah Cabang sahaja.

Ranting Mambau kini masih diketuai oleh saudara Rahim Omar Bin Nordin dengan Timbalan Ketua dipegang oleh Salimin Kamjan. Pusat operasi ranting ini juga masih kekal di markas kediaman saudara rahim Omar.

Ambang Pemilihan Keadilan 2014

Parti Keadilan Rakyat sekali lagi akan menghadapi pemilihan organisasi pada bulan April 2014 ini.

Setelah pindaan perlembagaan yang diusulkan dalam Kongres Nasional Khas yang berlangsung pada penghujung November 2013 lalu dan seminggu kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan, Keadilan wajib menjalankan pemilihan parti sebelum pertengahan Mei 2014. Sepatutnya mengikut tempoh sebenarnya, pemilihan tersebut diadakan pada tahun 2013. Namun atas sebab berlakunya PRU-13 pada bulan Mei 2013 lalu, Keadilan telah meminta penangguhan yang telah dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Besar kemungkinan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2013 dan 2014 akan dijalankan serentak bersama Pemilihan 2014.

Pengumuman Awal 

Keadilan Cabang Rasah juga tidak terkecuali dalam proses demokrasi tersebut. Walaupun aura pemilihan masih belum masuk ke suasana yang sebenar tetapi di peringkat cabang Rasah telah ada pengumuman tidak rasmi oleh Timbalan Ketuanya iaitu saudara R.Tangam (gambar) yang akan bertanding bagi jawatan Ketua Cabang. 

Beliau dikhabarkan begitu yakin akan memenangi jawatan tersebut kerana setakat ini belum ada mana-mana individu daripada Rasah yang akan turut serta dalam perebutan itu. Malah ada desas-desus seorang anak muda yang disebut akan bertanding bagi jawatan itu. Namun begitu, beberapa orang lama dalam Cabang Rasah berpendapat peluang untuk mencabar Tangam kali ini agak sukar atas faktor beliau mempunyai jumlah pengikut ramai yang membolehkan beliau mencapai angka kemenangan.

Ketua Cabang Rasah sedia ada, Haji Muhammad Kamel Yasin dikatakan tidak akan mempertahankan jawatan ini kerana ingin menumpukan urusan perniagaan dan keluarga.