Friday, January 30, 2009

PELANCARAN GERAKAN MANSUHKAN PPSMI (GMP)

Bersempena dengan program khas Pelancaran Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang akan berlangsung pada hari Sabtu 31 Januari 2009, pada jam 3.00 petang bertempat di Dataran Kompleks Membeli-Belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semua rakyat digesa hadir menyokong para tokoh bahasa dan pemimpin Pakatan Rakyat agar menyampaikan bantahan kepada kerajaan BN.

Perhimpunan ini bakal menyaksikan penglibatan tokoh-tokoh berwibawa yang mewakili institusi bahasa, akademik, profesional serta parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Antara yang dijangka hadir adalah Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof. Dr. Shahrin Md Zain, Prof. Abdullah Hassan, Ainon Mohd., Hasni Abas, Suhaizan Kayat, parti PAS dengan Dr. Nasharuddin Md. Isa, Mohd. Sabu bersama Pemuda PAS diketuai Salehuddin Ayub, manakala PKR dengan peneraju utama Shamsul Iskandar Md. Akin (Ketua AMK Pusat) bersama jentera padu AMK khususnya dari Wilayah Persekutuan dan Selangor dan disokong oleh ahli MPT PKR Tian Chua dan lain-lain.

Penggerak utama bagi Parti KeADILan Rakyat, Angkatan Muda KeADILan (AMK) menyeru agar semua lapisan rakyat Malaysia agar turut sama berhimpun sebagai simbol teguh menyatakan bantahan terhadap dasar kerajaan yang ternyata gagal ini, dan juga protes pada semua permasalahan isu PPSMI yang telah lama berlarutan dan telah mengakibatkan pelbagai masalah melanda prestasi pembelajaran para pelajar sekolah dan lanskap akademik negara.

Sidang media besar-besaran dan penghebahan pelbagai inisiatif program dan gerakkerja lanjutan bersama para pendesak GMP dijangka akan dilakukan pada hari tersebut. Semua ini adalah dalam tuntutan ke arah Himpunan 100 ribu Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dijangka diadakan 7 Mac depan.


ROZAN AZEN MAT RASIP
KETUA AMK BATU
NAIB KETUA AMK W/P
012 657 7878

Wednesday, January 28, 2009

Sertai Pakatan Rakyat, kenapa MB Negeri Sembilan tiba-tiba gelabah?

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Jan 28, 09 | 12:36:17 pm MYT

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohamad Hassan hari ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu ada wakil rakyat Umno/BN negeri tersebut ditawar menyertai Pakatan Rakyat sebelum ini.

Dalam laporan akhbar Sinar Harian, Mohamad dipetik sebagai berkata beliau yakin situasi lompat parti tidak akan berlaku di kalangan wakil rakyat BN Negeri Sembilan.

"Memang sebelum ini wakil rakyat BN di negeri ini pernah dipujuk Pakatan Rakyat untuk meninggalkan parti, tetapi usaha itu gagal," katanya.

Namun Mohamad juga mengakui tidak mustahil Adun BN akan melompat parti menyertai pembangkang.

Kemelut dalaman Umno selaku tonggak utama BN di Negeri Sembilan sebenarnya sudah lama berlaku sejak Mohamad dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 2004.

Ramai dikalangan pemimpin pro bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad membantah pelantikan itu, namun ketika itu arus sokongan ke atas Mohamad amat tinggi.

Mohamad dikatakan tokoh korporat yang bakal membawa Negeri Sembilan ke era baru dari sudut pembangunan dan kemajuan termasuk dalam sektor industri.

Begitupun, beberapa tahun selepas menerajui Negeri Sembilan, kelemahan Mohamad mula terserlah, malah kelemahan itu dihentam oleh bekas Adun Lenggeng, Dato' Ishak Ismail dalam satu sidang Dun pada tahun 2007.

Isu yang dibawa bekas Adun Lenggeng ialah kehadiran abang kepada MB, Dato' Azman Hassan dalam mempengaruhi pentadbiran kerajaan negeri.

Akhirnya, dalam pilihan raya umum 2008, nama Ishak terkeluar dari senarai calon BN yang sekali lagi menyaksikan BN hanya menang tipis di Lenggeng.

Kemelut Umno/BN tidak terhenti setakat 8 Mac 2008, beberapa bulan selepas itu (ketika Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membayangkan akan berlakunya perubahan kerajaan pusat), beberapa Adun Umno di Negeri Sembilan dikatakan akan menyertai Pakatan Rakyat.

Harakah pernah menyiarkan pendedahan mengenai isu tiga Adun Umno Negeri Sembilan bakal menyertai Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Malangnya atas sebab tertentu tiga Adun tersebut tidak dapat menyertai Pakatan Rakyat, dan kini isu tersebut mula dibicarakan semula.

Terkini Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Omar membayangkan akan adanya pilihan raya kecil di salah sebuah Dun di negeri ini.

Atas sebab apa pilihan raya kecil itu akan diadakan masih belum didedahkan, namun sumber Harakah memberitahu bahawa kini tersebar luas khabar mengenai ada Adun BN yang akan mengumumkan peletakan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Mungkin atas sebab itu, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri hari ini membuat kenyataan bahawa Pakatan Rakyat gagal pujuk adunya lompat parti.

Atau Mohamad sebenarnya bimbang tsunami politik yang melanda Perak yang menyebabkan Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim menyertai Pakatan Rakyat akan berlaku di Negeri Sembilan.

Tunggu isyarat seterusnya.../wann_

Thursday, January 22, 2009

Zahid cuba memecah belah rakyat Perak

dipetik daripada Harakah Daily.net

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Hrkh) - Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mengikhtiraf borang yang ditandatangani Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan satu ugutan dan biadap terhadap sistem demokrasi Perlembagaan Negara.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut mendakwa bahawa Zahid cuba memecah belahkan perpaduan rakyat khususnya di negeri Perak.

Katanya, kenyataan Zahid itu lebih kepada mendera rakyat kerana rakyat di negeri tidak tahu sesuatu urusan itu perlu diuruskan dengan Pusat atau negeri tetapi mereka hanya mahu segala urusan mereka berjalan lancar.

Contohnya tambah beliau, dalam urusan anak sekolah cop atau tandatangan daripada JKKK atau Penghulu Kampung tidak diikhtiraf dan ini akan menimbulkan masalah kepada rakyat kerana terpaksa berjumpa dengan JKKP yang dilantik oleh kerajaan BN.

"Zahid memang mahu mendera rakyat Perak dan mahu memuaskan nafsunya kerana marah dengan sikap rakyat Perak yang telah memilih pemimpin daripada kalangan Pakatan Rakyat," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Image Mungkin juga beliau mahu menjadi hero dan hendak tunjuk kehebatan beliau sebab hendak bertanding dalam Pemilihan Umno Mac nanti, tegas beliau.

Selain itu beliau turut menyelar tindakan Zahid yang mengkhususkan peruntukan khas hanya untuk wakil rakyat BN jika berlaku bencara seperti banjir, kebakaran dan sebagainya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan itu merupakan satu tindakan yang tidak patut kerana wakil rakyat PAS bukan hanya berkhidmat untuk ahli PAS tetapi semua kaum tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.

"Sudahlah peruntukan sebanyak RM500 ribu kita tidak dapat, ini peruntukan khas wakil rakyat BN saja yang dapat. Sudahlah di peringkat Parlimen wakil rakyat PAS di dera di peringkat negeri juga didera, mana demokrasi?" soalnya.

Ekoran itu kata beliau, mungkin ada pihak yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid kerana arahan tersebut tidak sesuai dengan roh perlembagaan dan ternyata mahu memecah belahkan perpaduan kaum di negeri Perak.

Ini kerana katanya apa perbezaan di antara cop atau tandatangan JKKK dengan JKKP.

Beliau menegaskan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Agama Islam apakah beliau tidak malu mengeluarkan larangan yang memecah belahkan kaum.

Sedangkan katanya dalam Parlimen beliau mengeluarkan kenyataan supaya umat Islam perlu bersatu padu tetapi hari ini beliau cuba memecah belahkan masyarakat di Perak.

"Dengan adanya larangan atau arahan tersebut ternyata beliau cuba menyusahkan rakyat," tegasnya.

Beliau berjanji akan membawa perkara tersebut dalam sidang Dewan Rakyat kerana arahan tersebut melibatkan demokrasi dan apakah larangan itu hanya dilakukan di negeri Perak sahaja. - mns_

***Zahid Hamidi nampaknya masih tidak menerima hakikat Perak telah diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat dan mendapat perkenan DYMM Tuanku Sultan Perak...sememangnya beliau ini bertindak seperti budak kecil.

Wednesday, January 21, 2009

Ezam: Relevankah Kepada Umno???

dipetik daripada Gerbang Keadilan KP
Timbalan Ketua AMK Kuala Pilah Sdr. Mohd. Nizam Razak telah memaklumkan kepada kami bahawa beliau akan meminta Dato' Seri Anwar Ibrahim memberikan laluan kepada beliau untuk mencabar Ezam. Beliau berkata hanya beliau yang layak untuk berhujah dengan Ezam dan bukannya Anwar Ibrahim. Daripada surat yang dipegang oleh Ezam dan terpampang didada-dada akhbar, beliau nampak jelas dan faham tulisan dalam surat tersebut. Ini yang cuba dipesongkan oleh Ezam Mohd. Nor. Menurutnya lagi beliau akan mengeluarkan kenyataan selepas daripada Pilihanraya Kecil Kuala Trengganu.


dipetik daripada Harakah Daily.net

Ezam undang bala
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakahdaily.net.my
Wed | Jan 21, 09 | 9:41:25 am MYT

ENTAH apa silapnya pihak tertentu dalam Umno, terlalu mempercayai bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Nor dan balaci-balacinya, sehingga dibawa berkempen di Kuala Terengganu.

Ezam ternyata membawa padah kepada Umno. Padah kerana penyertaan beliau dalam kempen BN, langsung tidak membantu. Tiada apa-apa kesan dan hanya merugikan masa dan wang Umno sahaja.

Ezam memang tiada modal. Kerjanya hanya membelasah bekas bosnya mantan TPM, Dato' Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tujuan Umno menggunakan khidmat Ezam dalam pilihan raya kecil, semata-mata untuk menyerang peribadi Anwar. Tiada sebab lain.

Malah, kali ini beliau melebarkan serangannya kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa. Tujuannya untuk melagakan Anwar dengan PAS, melagakan KeADILan dan PAS.

Maka berceramahlah beliau sehingga 'hendak keluar anak tekak'.

Ezam bak 'ayam jantan yang mengepak-ngepak' apabila apabila media cetak dan elektronik yang menjadi barua BN, memaparkan 'kehebatannya' beserta balacinya mengecam dan memaki hamun Anwar.

Namun rakan-rakan dalam KeADILan tidak terkejut.Mereka hanya ketawa apabila mendengar ceramah Ezam. Bagi mereka Ezam hanya pecacai dan soldadu upahan yang mahu mengaut seberapa banyak 'ghanimah' daripada Umno.

"Dalam KeADILan dulu, dia maki hamun Umno, BN, Abdullah, Najib lagi teruk. Berbakul-bakul dia maki, siap bersumpah 'haram' masuk Umno lagi. Sekarang apa dia cakap?" Soal seorang MP KeADILan yang bukan berbangsa Melayu.

"Kita pergi juga dengar ceramah dia (Ezam), malam kelmarin," kata seorang AJK AMK Terengganu yang ditemui.

"Tapi ceramah dia tidak lebih dari kelentong penjual ubat tenaga batin di jalanan," katanya lagi.

Memang pun. Ceramah Ezam bukannya ada sambutan. Tidak memberi kesan langsung. Malah seorang Ketua Putera Umno sebuah negeri berkata kepada seorang pemberita akhbar harian, "Kami meluat tengok Ezam, apa kena mengena Anwar dengan Kuala Terengganu? Permatang Pauh pun tak jalan (serangan peribadi).

"Lagi banyak dia maki Anwar, pengundi Umno pun lari dari kita (BN)," rungutnya.

Betul juga kata beliau. Di Permatang Pauh, khidmat soldadu upahan ini turut digunakan seluas-luasnya. Malah 'media tiga suku' hampir hari-hari memaparkan laporan ceramah, yang akhirnya menghasilkan hampas sahaja.

Di Kuala Terengganu sekali lagi khidmat beliau digunakan. Orang-orang Umno tahu bahawa Ezam masuk Umno melalui Khairy. Dan bagi mereka Khairy yang membawa Ezam untuk berkempen membantu rakan Khairy, Dato' Wan Farid Wan Salleh.

Tetapi ada kalangan suku sakat Ezam mendakwa, tindakan Ezam membelasah Anwar dibuat kerana mendapat 'blessing' daripada TPM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Jika dakwaan mereka betul, ianya hanya bertujuan untuk menajamkan permusuhan peribadi Najib-Anwar. Jika dakwaan itu tidak betul, Ezam hanya dipergunakan oleh kumpulan Abdullah, untuk melaga-lagakan Najib dengan Anwar.

Kerjanya tidak lain, selain untuk mencerca, menghentam dan melaga-lagakan orang. Apa nilainya seorang yang 'cari makan' dengan hidup dengan cara sebegini?

Saya tidak juga bertujuan untuk menyemakkan ruang yang terhad ini untuk membincangkan soal Ezam semata-mata. Tetapi sekadar memberitahu rakan-rakan dalam Umno bahawa, mengupah Ezam hanya sekadar 'mengabehkan boreh' (menghabiskan beras) dalam guni Umno sahaja.

Ezam sudah tidak relevan. Beliau seumpama 'anjing yang menggigit tuannya'.

Ezam bukan sahaja menikam Anwar dan rakan-rakan dalam KeADILan, malah beliau memperdaya pemimpin PAS mempercayainya. Beberapa tahun selepas melepaskan jawatan Ketua Angkatan Muda, Ezam terus berceramah di pentas PAS dan sering berjumpa dengan pemimpin PAS, termasuk di peringkat AJK Harian.

Pemimpin PAS diperdaya kononnya PAS adalah parti yang akan disertainya selepas KeADILan, bukan Umno. Beliau menjaja keburukan Anwar dan KeADILan kepada pemimpin PAS.

Malah ketika pemimpin PAS, bertanya mengapa beliau masuk Umno, selepas menyumpah seranah parti itu, ada juak-juaknya membayangkan, bahawa kemasukan Ezam dalam Umno, adalah untuk memperbetulkan parti itu dari dalam.

Katanya, Ezam hanya menjadi agen Anwar dalam Umno, untuk menyusun orang-orang Anwar dalam Umno, guna bersatu dengan Pakatan Rakyat dikemudian hari. Entah betul entah tidak. Apapun, sekadar pesanan kepada semua, berhentilah daripada mempercayai Ezam._

Tuesday, January 20, 2009

Tiga didakwa rasuah pemilihan Umno

Tiga orang, termasuk seorang naib ketua Umno bahagian di Perak, akan dihadapkan ke mahkamah Khamis ini atas tuduhan memberi wang rasuah ketika pemilihan Umno bahagian pada awal
November lalu.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini, naib ketua bahagian Umno berkenaan akan didakwa di mahkamah atas dakwaan memberi wang rasuah sebanyak RM300 kepada seseorang dalam pemilihan Umno bahagian.

Seorang ejen akan didakwa pada tarikh yang sama terhadap tuduhan memberi rasuah sebanyak RM200 kepada seseorang bagi mengundi calon dalam pemilihan ketua bahagian Umno di Pahang, lapor Bernama.

Kes ketiga melibatkan seorang ejen di Melaka, yang akan didakwa di mahkamah pada tarikh sama atas dakwaan memberi rasuah RM200 kepada seseorang untuk mengundi Ketua Bahagian Umno dalam pemilihan Umno baru-baru ini.

Menurut SPRM, ketiga-tiga mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008.

Mesyuarat Umno di peringkat bahagian berlangsung selama sebulan dari 9 Oktober hingga 9 November lalu.

Manakala lanjutan tarikh mesyuarat diberikan kepada lima bahagian Umno yang bermasalah.

Selain memilih kepimpinan di peringkat bahagian, mesyuarat tersebut juga membuat pencalonan bagi jawatan tertinggi Umno unruk pemilihan parti Mac depan.

Mesyuarat bahagia juga memilih perwakilan ke perhimpunan agung tersebut.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan - enam dari kalangan kepimpinan bahagian manakala tujuh lagi dipilih dalam mesyuarat bahagian.

Najib gagal baca amaran awal kekalahan?

Ahmad Lutfi Othman
Mon | Jan 19, 09 | 7:19:32 pm MYT

SEBELUM diisytihar menang pun, penampilan Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS, mewakili Pakatan Rakyat, sudah menempa sejarah tersendiri. Pemilihannya memang tidak dijangka. Namanya dicalonkan di peringkat awal, tetapi khabarnya beliau sendiri menarik diri, untuk memberi laluan kepada tokoh-tokoh lain, dan antara yang disebut-sebut ialah Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Batu Burok yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu (1999-2004) dan Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri.

ImageSejarah dibentuk lagi kemudiannya apabila persepakatan erat Pakatan Rakyat terserlah bermula dari hari penamaan calon, semasa kempen hinggalah hari pembuangan undi. Rasanya inilah kali pertama pimpinan utama DAP, diketuai Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng aktif berkampung di kawasan majoriti Melayu, dan lebih menarik ia terletak di Kuala Terengganu.

"Cantiknya ia berlaku di Terengganu"

Apabila turun mengatur strategi dan berkempen bersama, tentulah "yang jauh dapat didekat, yang dekat dapat dimesrakan". Ada dakwaan mengatakan pimpinan PAS Terengganu agak tidak begitu "dekat dan mesra" bukan saja dengan pemimpinan DAP, malah KeADILan.

Sementara kemenangan dengan majoriti tidak terduga Abdul Wahid, iaitu 2,632 undi, disambut gema takbir (dan kemudiannya ratusan anak muda meraikannya di jalan-jalan sekitar bandar), Timbalan Presiden Umno, Najib Razak, yang mengemudi jentera kempen BN pasti terkedu dengan kekalahan bergandanya.

Permatang Pauh mungkin tidak memalukannya tetapi Kuala Terengganu nyata memberi tamparan hebat buat bakal Perdana Menteri, yang dijangka naik takhta Mac nanti.

Permatang Pauh dikenali sebagai kubu kuat Anwar Ibrahim sejak 1982 lagi, terletak pula di negeri Pakatan Rakyat. Sementara Kuala Terengganu milik Umno-BN, di negeri Terengganu yang mana BN menang besar dalam pilihan raya umum ke-12, menghadang ombak tsunami politik yang menghempas Pantai Barat.

Lebih perit buat BN di Kuala Terengganu

Di Permatang Pauh calon BN kekurangan 1,426 undi berbanding pilihan raya 2008 tetapi di Kuala Terengganu, "orang kuat" Abdullah Ahmad Badawi, undi Wan Ahmad Farid Wan Salleh merosot 2,320 berbanding penyandang, Allahyarham Razali Ismail.

Najib diakui bekerja keras sepanjang 11 hari berkempen, menawarkan pelbagai impian, menyogok tawaran, dan mengetuk pintu demi pintu, bagi memastikan momentum kejayaan gemilang Anwar tidak merebak ke Pantai Timur.

Kini reputasi Najib - dan BN yang bakal dipimpinnya - dipercayai tambah gelap memandangkan bagasi sejarah beliau juga begitu membebankannya. Igauan Altantunya Shaariibu masih menghantui Najib hinggakan mereka yang manampal gambar gadis Mongolia itu di Kuala Terengganu pun ditahan polis.

Umno di bawah terajunya nanti dijangka berdepan masalah dalaman lebih parah. Secara umumnya, imej peribadi calon BN, Wan Farid Salleh, yang dikatakan "sombong, tidak mesra, elitis, bersifat bangsawan" boleh menggambarkan imej Umno-BN sekarang.

Malang sekali, Najib dan juga jentera kempen BN tidak pernah berubah; mereka seolah-olah langsung tidak mengambil iktibar pengalaman pahit pilihan raya Mac 2008 yang menyaksikan lima negeri jatuh dan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan.

Seperti ditegaskan sarjana politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Ghazali Mayudin, yang menghantar artikelnya kepada saya pada awal pagi 17 Januari, di waktu pusat mengundi baru dibuka: "Strategi dan tindakan BN untuk memenangi hati pengundi di KT menampakkan yang parti itu seakan terperangkap dalam penjara yang dibinanya sendiri. Setelah memenangi puluhan pilihan raya, umum atau kecil, dengan skrip yang sama semenjak merdeka, maka skrip lama ini juga yang digunakan dalam pilihan raya abad ke-21 ini." Maknanya Ghazali menulis artikel itu, yang sudah merumuskan punca kekalahan BN, sebelum pemilih berdaftar membuang undi lagi.

Ramalan sarjana politik terbukti tepat

Bukan Ghazali seorang yang begitu yakin PAS boleh menang, malah beberapa pengkaji dan sarjana politik lain sudah meramalkan begitu. Ketua Program Sains Politik UKM, Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff, empat hari sebelum mengundi, memaklumkan kepada saya: "Lutfi, pegang cakap-cakap saya ini, PAS boleh menang sehingga majoriti 3,000 undi!" Seorang lagi pensyarah sains politik, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin, melalui siaran langsung TV, berdasarkan tinjauannya, juga dengan penuh yakin menjangkakan PAS bakal menang.

Semasa kempen, berdepan masyarakat Tionghua, yang dikira undi penentu, BN terus menakutkan mereka dengan isu Hudud walhal dalam pilihan raya umum lalu, khususnya di Pantai Barat, pengundi Cina dan India tanpa segan silu menyelimuti bendera PAS di tubuh mereka, sambil giat berkempen memenangkan Pakatan Rakyat. Seorang pemimpin muda MCA Cheras, melalui siaran Astro Awani menegaskan, "politik ugut dan gertak" menggunakan isu Hudud sudah tidak berkesan lagi.

Politik "pembangunan dan keselamatan" dengan gaya lama adalah konsep kuno yang tidak lagi sesuai dengan dunia siber dan langit terbuka ini. Benar seperti kata A Kadir Jasin, BN yang sudah terlalu lama berkuasa sudah begitu sukar berubah: "Mereka tetap menggunakan taktik lama yang sama. Memang ada janji untuk melakukan bedah-siasat atas kekalahan Mac 2008 tetapi apabila didapati post-mortem itu menikam pemimpin atasan, ia terus dilupakan. Jadi, tidak hairanlah jika ada ahli Umno sendiri yang mendoakan BN kalah di Kuala Terengganu."

Di pihak Pakatan Rakyat pula, diharap hubungan erat semasa kempen dapat diinstitusikan. Lima negeri Pakatan harus menyerlahkan bentuk kerjasama yang boleh memberi banyak manfaat buat rakyat.

Persefahaman mantap Pakatan

Tidak mudah berdepan ketidak-tentuan ekonomi dan cabaran lain yang lebih sengit dalam waktu terdekat, namun dengan persefahaman pimpinan Pakatan di peringkat pusat dan negeri terbabit, segala kemelut mudah dirongkai.

Lebih menarik, "Pengisytiharan Mentaloon" dikeluarkan pada 18 Mac, sehari selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu, membabitkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri lima negeri Pakatan Rakyat, bertempat di kediaman Menteri Besar Kedah, di Sri Mentaloon, Alor Setar.

Impian rakyat untuk menikmati kehidupan lebih baik di bawah Pakatan begitu tinggi. Segala tawaran dalam manifesto masih ada yang belum tertunai. Masa Umno-BN sudah berlalu.

PAS terbukti dapat melalui ranjau dengan cemerlang sekali. KT bukan sahaja membuka laluan untuk menguasai kembali Terengganu, malah menunjuk jalan lurus ke Putrajaya, insya-Allah.

Dan terbukti penangguhan cetakan Harakah edisi Jumaat, Bil 1408, daripada pagi Sabtu kepada pagi Ahad, bagi menunggu keputusan pilihan raya, adalah langkah tepat! Kami tidak mahu terlewat untuk merakam satu sejarah baru dalam politik Malaysia._

Monday, January 19, 2009

BN kini tinggal 137 kerusi Parlimen

Barisan Nasional (BN) kehilangan satu lagi kerusi Parlimen apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil yang diadakan hari ini.

Sebelum ini, BN kehilangan dua kerusi Parlimen apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil tindakan keluar dari gabungan tersebut.

Dengan itu, BN kini mempunyai 137 kerusi di Parlimen. Ekoran kemenangan hari ini, PAS pula kini mempunyai 23 kerusi Parlimen.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi.

Beliau mendapat 32,883 undi manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Seramai 79.3 peratus pemilih keluar mengundi hari ini.

Pengundian di 144 saluran di 36 pusat pengundian bermula pada jam 8 pagi dan ditutup tepat jam 5 petang.

Pengumuman rasmi keputusan pilihanraya tersebut diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wan Mustapha Wan Hassan pada jam 9.29 malam.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail di Institut Aminudin Baki, Genting Highlands pada 28 November lalu.

Dalam pilihanraya umum lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Dengan itu, pembangkang pula kini mempunyai 82 kerusi Parlimen dan tiga calon bebas - Datuk Ibrahim Ali dan dua ahli Parlimen SAPP.

Selepas pilihanraya umum lalu, BN memenangi 140 kerusi Parlimen, PKR (31 termasuk kerusi PSM), DAP (28) dan PAS (22).

Tuesday, January 13, 2009

PRK (P036) Kuala Terengganu

Bahagian Rasah telah menghantar seramai 20 orang petugas untuk PRK P036 Kuala Terengganu yang diketuai oleh YB Chai Tong Chai.

Petugas-petugas bahagian ini adalah antara daripada 120 orang petugas Kontingen PKR Negeri Sembilan yang bertanggungjawab membantu kempen dan urusan pilihanraya dengan jentera PAS di daerah mengundi Chendering yang terletak dalam DUN Batu Burok.

Semoga dengan kehadiran semua petugas ini akan dapat meningkatkan prestasi kejayaan kepada Pakatan Rakyat dan merealisasikan pertambahan satu lagi kerusi Parlimen kepada Pakatan Rakyat.

Berdasarkan beberapa maklumat sahih yang diterima terkini, peratusan sokongan kepada calon PAS ialah 65%, manakala calon BN ialah 35%. Sokongan dan gerak kerja yang gigih pasti akan melonjakkan lagi peratusan sokongan ini kepada Pakatan Rakyat.

Thursday, January 8, 2009

DEMO Rakyat NS Sokong Palestin 9 Jan Senawang

DEMONSTRASI Rakyat Negeri Sembilan Menyokong Perjuangan Rakyat Palestin
JUMAAT 9 Januari 2009
Di Perkarangan Masjid Bandar Baru Senawang , N.Sembilan
Selepas Solat Jumaat
Semua Dijemput Hadir

Anjuran : Koordinator Sukarelawan Selamatkan Al Quds dan Gabungan NGO
Hubungi 019-2998345 (azizi keadilan Rembau 0123696474)

Monday, January 5, 2009

Balai Raya milik siapa...orang awam atau untuk UMNO?


Milik siapa? Terkibar jelas bendera Umno...

oleh Lensa Sakti.
Balai raya merupakan antara kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan orang ramai khususnya di kawasan kampung. Ia berfungsi sebagai dewan serbaguna yang boleh menampung kapisiti maksima antara 200-300 orang pada sesuatu masa.

Persoalan timbul di sini adalah siapakah pemilik kepada balai raya-balai raya ini? Jawapannya pastilah JKKK kampung. Namun begitu, siapakah pula yang boleh menggunakan kemudahan ini? Jawapan sepatutnya semua orang awam tanpa mengira latar belakang aspirasi politiknya, tanpa mengira kaum dan agama.

Situasi yang berlaku sejak 51 tahun dulu ialah balai raya ini seolah-olah menjadi markas bagi parti UMNO. Kebanyakannya digunakan oleh ahli-ahli Umno, sedikit-sedikit orang awam biasa yang gunakan...jarang-jarang diberi kepada orang yang berpartikan pembangkang.

Seharusnya balai raya ini bersifat neutral iaitu ia boleh diguna pakai oleh semua orang untuk tujuan yang baik seperti mengadakan mesyuarat, pertemuan sesama masyarakat, mengadakan program dan aktiviti sosial/kemasyarakatan.

Akan tetapi stigma kebanyakan orang-orang dalam JKKKK ini lebih "berimankan" Umno daripada keimanan sebenar. Kalau bukan proksi atau ahli Umno, sukarlah untuk mendapat peluang menggunakan balai raya.

Fikir-fikirkanlah secara cermat, berhemah dan penuh timbang rasa. Bukan berfikir cetek bergelora emosi.