Thursday, February 26, 2009

MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA DSAI

Peta laluan ke Restoran Dragon Court

"MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA DSAI"
Tarikh: 1hb MAC 2009 / Ahad.
Masa: 8.00 malam.
Tempat: RESTORAN DRAGON COURT, OAKLAND SEREMBAN 2, SEREMBAN.
Hotline: 012-628 2929 (Edwin Lim Khoon Seng)

Monday, February 23, 2009

Umno penakut, kata Mohd Nizar

dipetik daripada Malaysiakini.com
Gabungan Pakatan Rakyat di Perak hanya menggunakan kuasa speaker Dewan Undangan Negeri untuk menggantung Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan anggota exconya.

Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin menegaskan demikian dalam ucapan malam tadi di Felcra Serigala di Slim River yang dihadiri kira-kira 1,000 orang, dan berhujah bahawa Pakatan kini telah melumpuhkan BN kerana gabungan itu menguasai 28 kerusi, berbanding 21 kerusi BN selepas penggantungan tersebut.

"Ekoran itu, Pakatan adalah kerajaan untuk mentadbir Perak,katanya dalam laporan Harakahdaily hari ini.

"Hari ini, kalau kami nak gulingkan kerajaan baru pun sudah boleh...tetapi kita ini ikut undang-undang dan peraturan. Bukan macam mereka merampas dengan cara penuh jijik.

"Mereka lupa, kuasa besar dan tinggi yang BN pernah berikan kepada Speaker 50 tahun dahululah kita guna balik ikut peraturannya," kata Nizar.

Felcra Serigala terletak dalam dewan undangan negeri Behrang, yang diwakili Jamaluddin Mohd Radzi yang keluar PR dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN.

Mohd Nizar menegaskan bahawa beliau masih menjadi menteri besar yang saj yang dilantik oleh sultan.

"Saya masih menyimpan Watikah yang sah, yang tidak pernah pun dibatalkan oleh sesiapa. Watikah itu di atas lantikan Sultan dan disaksikan sendiri oleh Hakim Mahkamah Tinggi," katanya yang merupakan Adun Pasir Panjang.

Mohd Nizar berkata jawatannya itu akan terbatal atau terlucut hanya melalui tiga cara iaitu, Perletakan jawatan secara sukarela, Pembubaran DUN dan Undi tidak percaya ke atas dirinya.

Beliau turut mencabar Umno untuk berhadapan dengan rakyat Perak melalui pilihan raya.

"Umno penakut. Takut kalah macam di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebab itu mereka rampas kuasa.

"Kami anak jantan, sangup berdepan dengan mereka dengan apa jua keadaan pun!" tegasnya.

Keluar rumah rasmi


Sementara itu di Ipoh, Bernama melaporkan, Mohd Nizar secara rasmi berpindah dari kediaman rasmi menteri besar hari ini.

Katanya beliau berpindah sebagai menghormati peraturan dan arahan Setiausaha Kerajaan negeri Perak dan bukan bermakna menyerah kalah kerana proses mahkamah masih berjalan dalam menentukan
kedudukannya sebagai Menteri Besar yang sah.

Berucap di majlis meraikan wartawan sempena perpindahan beliau secara rasmi dari kediaman itu, Mohd Nizar berkata, Perak tidak lagi menjadi destinasi yang meyakinkan pelabur asing ekoran kemelut peralihan kuasa kerajaan negeri yang mencetuskan krisis perlembagaan.

Katanya, pelabur tidak yakin untuk datang ke Perak jika krisis perlembagaan yang berlaku itu dibiar berterusan.

Keadaan yang menjejaskan ekonomi dan pembangunan negeri itu tidak akan selesai selagi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubar dan rakyat diberi hak untuk memilih kerajaan yang dikehendaki, katanya.

Thursday, February 19, 2009

Speaker ada kuasa gantung MB, enam exco - Dr Aziz Bari

Harakahdaily
Thu | Feb 19, 09 | 10:26:27 am MYT

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Sungguhpun Dato' Dr Zambry Abdul Kadir Zambry tidak berpuas hati dengan Speaker DUN Perak, V Sivakumar atas keputusannya menggantung dan melarang beliau dan enam Exco daripada menghadiri sesi DUN, namun tindakan itu dibuat mengikut peruntukan kuasa yang ada.

Demikian pandangan pensyarah undang-undang Profesor Dr Aziz Bari yang menyatakan bahawa Sivakumar selaku speaker mempunyai kuasa untuk berbuat keputusan tersebut.

"Speaker ialah ketua Dewan...pada asasnya," katanya dan menyatakan terdapat kes penggantungan anggota Dewan Undangan Negeri oleh speaker DUN dan anggota Parlimen oleh speaker Dewan Rakyat sebelum

"Kuasa speaker adalah sama di semua negara Komanwel," katanya dalam sebuah laman web.

Abdul Aziz berpendapat di peringkat persekutuan, Speaker Dewan Rakyat sebelum ini pernah beberapa kali membuat keputusan yang dianggap 'tidak munasabah, menolak usul, menggantung Ahli Parlimen dan sebagainya'.

"Kali ini giliran BN pula merasa," katanya.

Abdul Aziz memberitahu bahawa Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin mempunyai hak untuk membawa kes itu di makamah atas sebab 'posisi kabur kerajaan Zambry.'

Sementara itu peguam Karpal Singh juga turut bersetuju dengan tindakan Sivakumar dan menyatakan bahawa ianya di bawah bidang kuasa beliau selaku Speaker.

MB dan semua exco Perak digantung hadiri sidang DUN

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.

Keputusan itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak V Sivakumar selepas selesai bersidang hari ini.

Perkembangan terbaru ini akan melontarkan Perak ke dalam satu lagi krisis, selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri awal bulan ini.

Sebelum itu, Dr Zambry memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung kenyataannya terhadap Speaker Sivakumar.

Beliau dan enam exconya dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Enam exco berkenaan ialah Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Dipanggil beri keterangan

Turut dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan adalah dua wartawan, masing-masing daripada akhbar The Star dan Sin Chew Daily.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun iaitu Datuk Hasbullah Osman (Temenggor) dari BN manakala lima lagi daripada pakatan pembangkang iaitu Husin Din (Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham).

Sivakumar masih menjadi Speaker DUN Perak kerana kerajaan baru BN belum lagi mengadakan sidang dewan untuk menggantikan beliau dengan calon dari BN.

Dengan menggantung tujuh daripada 28 ahli dewan undangan negeri (Adun) BN, maka jumlah wakil rakyat kini kembali memihak kepada Pakatan Rakyat.

Jika dewan bersidang sekarang, BN akan hanya mempunyai 24 Adun di pihaknya - termasuk tiga calon bebas - manakala Pakatan mempunyai 28 Adun.

Di segi teknikalnya, kerajaan negeri BN masih boleh terus memintah Perak, tetapi ia tidak boleh mengadakan sidang dewan kerana bimbang Pakatan akan mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya.

Kesemua tujuh Adun BN itu diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Speaker: Ada kes prima facie

Sivakumar berkata, setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry dan enam exco berkenaan.

"Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

"Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri," kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang ini.

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Khabar angin tentang Hee

Di samping itu, Perak juga dilanda khabar angin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Hee Yit Foong telah meletak jawatan.

Sebelum ini, beliau bertindak keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN.

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP ketika dihubungi menafikan perkara itu.

20 Kes Rasuah Khir Toyo

Khir Toyo

1. Meluluskan projek pembina jalan merentasi bendang termahal, di Sekinchan, sejauh 20.5 km, bernilai RM92.5 juta kepada kontraktor yang hampir disenaraihitamkan, Meram Holdings. Menurut taksiran JKR, kos jalan itu tidak boleh melebihi RM50 juta. Subkontraktor yang menjalan semua projek berkenaan, Cabaran Wangsa, di miliki Pua Kim An, 27 tahun, tuan rumah yang pernah disewa oleh Khir, manakala seorang lagi pengarah syarikat, Ahmad Tarmizi Tajjeury adalah kroni Khir yang juga mendapat 100 ekar tanah yang memberi keuntungan minimum RM20 juta.

2. Meluluskan tanah 400 ekar di Shah Alam, pada 20 Disember 2000 kepada empat syarikat berbeza (Layar Kekal/ Tirai Gemilang, Samasys, Usahasewa Sdn Bhd), tetapi seorang nama pengarahnya (Samsuri Rahmat) hadir dalam semua syarikat tersebut, iaitu seolah-olah Khir meluluskan tanah berpontensi tinggi itu kepada seorang sahaja. Nilai tanah di kawasan berkenaan boleh mencapai RM1 juta untuk satu ekar. Samsuri boleh untung minimum RM300 juta dari tanah tersebut.


3. Meluluskan tanah kepada kroninya secara berulang kali dalam tempoh masa singkat. Daripada hanya dua mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diambil secara rawak, iaitu pada 20 Nov. 2000 dan 4 Julai 2001, sekurang-kurangnya empat nama bertindan yang mendapat 100 ekar setiap orang, Ahmad Tarmizi Tajjeury, A.Rahman Mokhtar, Suzilawani Mustaphin dan Ali Nordin. Semua mereka ada hubungan, sama ada dengan Khir ataupun Setpol, Dr Karim Mansor. Sebahagian tanah ini telah dijual, dan pemiliknya boleh mengaut keuntungan RM200,000 seekar tanpa mengeluarkan modal walaupun satu sen.

4. Meluluskan tanah seluas 50 ekar setiap seorang kepada empat pemohon yang hanya baru berusia 20 tahun (Ahmad Azmir, Noor Ashikin, Mardhiah, Azril Yusri).Salah seorang darinya adalah anak pegawai Daerah Kuala Langat, di mana lokasi tanah itu dikesan. Difahamkan sebahagian anak-anak muda ini tidak tahu pun yang mereka mendapat tanah berkenaan kerana mereka hanya penama bagi pihak yang rapat dengan Khir. Mereka ini hanya menjadi pengarah syarikat, tidak pun sampai 40 hari sebelum Exco meluluskan permohonan mereka. Beberapa syarikat terbabit dikenal pasti mempunyai pemegang syer yang sama, yang terdiri dari dua wanita yang ketika permohonan diluluskan baru berumur 24 tahun.

5. Bagaimana Khir, pada bulan Mac 2001, hanya selepas 5 bulan menjadi MB, boleh membayar semua baki pinjaman rumahnya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang. Kalaupun beliau tidak membelanjakan langsung elaun MBnya, beliau tidak mampu membayar semua pinjamannya itu.Rumah itu juga diubahsuai dengan kos yang besar, ini belum lagi dikira kos membina rumahnya sekarang di Simpang Lima, Tanjung karang, yang menelan belanja lebih RM300,000.

6. Menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan sebidang tapak banglo di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi dengan diskaun hebat, 50%. Khir berbohong di Dun Selangor pada 31 Oktober 2001 apabila mendakwa beliau tidak membeli tanah itu, kononnya kerana tidak mampu dan dia juga menafikan pernah menerima dua tawaran dari PKNS dengan harga yang berbeza-beza. Salinan pembayarannya telah diperolehi.

7. Khir memberi sumbangan peribadinya, berbentuk telur ayam, ayam dan peralatan sekolah kepada pengundi di kawasannya, di Sungai Panjang pada 25 Disember 2000. Nilainya hampir RM200 ribu. Apabila dipersoalkan dari mana sumber kewangannya, beliau, melalui akhbar Malay Mail pada 15 Januari 2001 mendakwa sumbangan ayam diperolehi dari Lintang Bistari Sdn Bhd sebuah syarikat bumiputera yang menurut Khir adalah syarikat ternakan ayam terbesar di Sungai Panjang. tinjauan menunjukkan bukan ayam atau reban tidak ada di kawasan berkenaan, malahan bulu dan tahi ayam pun tiada.

8. Pada 17-18 April 2001, meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn. Bhd, seluas lebih 1200 ekar. Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnya bersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesan mendapat tanah 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen pilihan raya 1999 dahulu.

9.Projek membekal dan memasang paip air besi keluli MS1200mm, dari Semenyih ke Banting sejauh 37.3 km, bernilai RM82,385,182.. Projek ini terlalu mahal dari taksiran awal, yang tidak boleh melebihi RM40 juta. Dan jika sumber air diambil dari Pekan Dengkil kemungkinan jaraknya dapat dipendekkan menjadi hanya 20 km dan ini lebih menguntungkan. Ahli keluarga terdekat Khir didakwa mendapat imbuhan berpuluh juta daripada kontraktor LBH Engineering.

10. Meluluskan konsesi membekalkan peralatan paip air untuk jabatan Bekalan Air Selangor kepada syarikat milik Naib Ketua Umno Tanjong Karang, JAKS Sdn Bhd. Harga paip JAKS 50% lebih tinggi daripada harga kilang. Bayangkan, untuk 1 meter paip, harga JAKS adalah RM900 sedangkan harga kilang hanya RM600. Selangor mahu tukar 5,000 km paip,jadi berapa untung JAKS?

11. Meluluskan kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat, seluas lebih 1,200 ekar kepada Fungsi Mewah, milik Pua Kim Seng, iaitu abang kepada Pua Kim Seng, bekas tuan rumah yang pernah disewa Khir di Sekinchan. Keluarga Pua ini juga mendapat kontrak membina jalan termahal (RM4.6 juta untuk 1km)merentasi sawah padi daripada Meram Holdings, kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.

12. Khir membayar RM10,000 sebulan bagi tapak banglonya, di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, yang dibelinya daripada PKNS dengan harga diskaun 50 peratus. Sumber pendapatannya dipertikai kerana sebelum ini beliau membayar tunai RM150,000 untuk selesaikan pinjaman rumahnya di Kajang, selepas lima bulan menjadi MB.

13. Beliau mengarahkan Pengarah JKR Selangor, melalui nota pensil (agar dapat dipadam jika timbul kontroversi kelak), agar menyerahkan projek yang membawa keuntungan lumayan kepada kontraktor kroni. Antara projek terbabit ialah pembinaan jalan di Sabak Bernam, masjid di Puchong Perdana, kem wataniah dan kuaters kakitangan SUK di Shah Alam.

14. Khir mempunyai hubungan rapat dengan kontraktor yang memohon projek kerajaan negeri, misalnya beliau bersama keluarga pernah bermalam di sebuah resort mewah di Janda Baik milik kroninya. Majulia Sdn. Bhd. Ini bercanggah dengan surat akujanji yang ditandatanganinya di depan Sultan Selangor.

15. Menswastakan kutipan tunggakan pembayaran ansuran bulanan rumah awam kos rendah seluruh Selangor kepada syarikat kroni, Noble Nexus Sdn Bhd melalui perjanjian konsesi pada 27 September 2001. Untung lumayan dapat dipungut secara mudah kerana tugas Nobel Nexus hanya menghantar notis saman dan 30% kutipan menjadi miliknya.

16. Meluluskan pembelian kenderaan rasmi kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar (dirinya sendiri) melalui mesyuarat Exco ke 25/2001 pada 26 September 2001, tanpa melalui prosedur yang lazim digunakan. Usia kereta rasmi MB belum sampai lima tahun (didaftarkan pada Jun 1997), dan tempoh Khir menjadi MB baru setahun iaitu tidak sampai lima tahun seperti sepatutnya. Beliau juga tidak merujuk kes ini kepada Perbendaharaan dan Ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur. Meskipun menyentuh kepentingannya, di mana kereta rasminya Merc S320L, no. plat BGF7337 ditawar untuk dijual kepadanya, Khir masih mempengerusikan mesyuarat dan tidak mengisytihar kepentingannya.

17. Khir mengarahkan agar semua minit dan kertas mesyuarat exco dikutip semula selepas mesyuarat tamat, manakala segala bahan-bahan penting mesyuarat Exco yang dipengerusikannya sejak Ogos 2000 tidak dibenarkan disimpan oleh Exco lain. Selalunya kertas-kertas penting itu diedarkan kepada anggota Exco sehari sebelum mesyuarat, iaitu pada Selasa, tetapi selepas isu rasuahnya terbongkar, ia hanya diserahkan selepas setiap Exco duduk di kerusi masing-masing. Maknanya, “Exco Selangor masuk mesyuarat berlenggang, keluar pun berlenggang.”

18. Meluluskan hampir 11 ekar tanah di Bandar Baru Bangi, yang diwartakan sebagai kawasan rekreasi, kepada syarikat kroni, Bestarama Sdn Bhd. Masyarakat setempat membuat bantahan kerana setakat ini banyak kawasan hijau dibangunkan demi mengejar keuntungan lumayan. Bestarama boleh untung segera lebih RM14 juta. Menariknya, pemegang syer Bestarama juga pemegang syer Noble Nexus. Kedua-dua wanita itu hanya penama bagi suku-sakat Khir.

19. Menggunakan ratusan ribu ringgit wang kerajaan negeri untuk membeli iklan dua muka penuh berwarna dalam Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya pada 1 Feb, 16 Mac 2002, bagi menjawab serangan Lutfi Othman yang mendakwa Khir mengagihkan tanah (yang luas dan mahal), pelbagai projek besar, balak, buat kroni dan suku-sakatnya.

20. Mengeksploit mesyuarat Majlis Tindakan ekonomi Selangor (MTES), untuk meluluskan segala tanah & projek kepada sesiapa yang disukainya tanpa kehadiran Exco lain. Mesyuarat Exco esoknya (pada setiap Rabu) hanya mengesahkan saja. MTES, menurut bekas penasihat undang-undang negeri, adalah tidak sah dari segi legal kerana ia merampas kuasa mesyuarat Exco.

Monday, February 16, 2009

USAHAWAN ADALAH NADI SESEBUAH PARTI KERAJAAN

Ini adalah pandangan Ketua Bahagian Sepanggar, Dato' Halik Zaman.

Mengimbau kembali pengalaman saya semasa Parti BERJAYA menumbangkan Kerajaan USNO tahun 1976. Setelah Parti BERJAYA berkuasa membentuk Kerajaan, saya memegang portfolio Pengerusi Executive Lembaga Letrik Sabah bertaraf Menteri, ketika itu.

Dari Ketua Menteri, Menteri Menteri Kabinet, Pengerusi Pengerusi Executive Badan Berkanun, mesti mengistiharkan semua harta masing masing dalam satu borang khas dan mereka tidak dibenarkan niaga walau atas nama isteri, anak anak, menantu dan yang ada kaitan pertalian darah.

Dasar Parti BERJAYA dan halatujunya seakan sama dengan PKR yang berlandaskan fahaman multiracial.

Baru sehari saya duduk dikerusi Pengerusi Executive Lembaga Letrik Sabah, saya perhatikan 70% pegawai pegawai dan kaki tangan Lembaga Letrik Sabah pro USNO. Dalam pentadbiran dan Jawatankuasa Tender Board semuanya pro USNO.

16 orang Board Of Director Lembaga Letrik Sabah lantikan politik bukan executive, termasuk lah 6 orang Pegawai Kanan Kerajaan dari Kementerian. 10 orang Pengarah bukan executive tentu lah orang politik dari Parti BERJAYA. Para kontrector yang berdaftar dilembaga juga terdiri dari usahawan usahawan USNO. Usahawan usahawan USNO yang menjadi kontrector diLembaga Letrik Sabah semuanya ada mempunyai lesen dari A hingga F.

Soalannya : Bagaimana saya nak tolong usahawan usahawan Parti BERJAYA sedang mereka tidak mempunyai lesen A hingga F pun tidak ada?

Dalam Mesyuarat Badan Pengarah, saya cadangkan agar Lembaga Letrik Sabah menganjurkan kursus kepada semua usahawan usahawan Bumiputra dalam bidang electrical. Cadangan saya dapat sokongan penuh oleh Badan Pengarah. Dalam masa 6 bulan kebanyakan usahawan usahawan Parti BERJAYA telah berjaya mendapat lesen A hingga F dalam bidang electrical. Itupun mesti mendapat kemudahan dari orang orang atasan.

Langkah kedua : Saya cadangkan dalam Mesyuarat Badan Pengarah untuk reshuffle Jawatankuasa Tender Board dengan tujuan agar Pegawai Pegawai Kanan Lembaga Letrik Sabah bertukar pengalaman.

Semua Jawatankuasa Tender Board yang pro USNO diberi tanggung jawab yang lain dalam lembaga itu juga dan Jawatankuasa Tender Board yang baru terdiri dari Electrical Engineer, Pegawai Pegawai Kanan, Penasihat Undang Undang Lembaga dan dipengerusi oleh saya sendiri. Dengan cara begini saya dapat tolong usahawan usahawan Parti BERJAYA tapi mesti mempunyai merit.

Saya berpandangan bahawa sesebuah pertubuhan politik pembangkang yang memerintah beberapa buah Negeri diSemenanjung kekuatannya bukan bergantung kepada Menteri Menteri Besar dan Exco-nya, Ketua Menteri dan Kabinetnya atau bergantung kepada Presiden sesebuah parti politik yang memerintah.

Mereka ini adalah sebagai pentadbir yang effisien, jujur dan amanah melaksanakan tugas mereka yang diberi mandat oleh pengundi. Mentadbir rakyat di bandar dan dikampung kampung, memberikan kemudahan infrastructure kepada rakyat, itulah tugas Menteri Menteri Besar dan Ketua Menteri dan Exco-nya.

Yang menjadi nadi kepada sesebuah Kerajaan dan badan badan politik adalah usahawan usahawan yang berjaya dan merit yang telah dibentuk oleh Kerajaan yang memerintah. Tanpa derma dan bantuan ikhlas dari usahawan usahawan yang dibentuk oleh Kerajaan maka parti politik Kerajaan itu tidak dapat mengukuhkan kekuatan dalaman sesebuah parti politik lebih lebih lagi dalam menghadapi keperluan Pilihan Raya Umum. Semua parti politik perlukan derma secara ikhlas dari ahli ahlinya yang berwang.

Jika saya seorang usahawan yang berjaya, salah kah kalau saya ingin menderma kepada parti dimana saya menjadi ahlinya, tanpa ada permintaan dan paksaan?

Bagaimana saya nak derma kepada parti dimana saya menjadi ahlinya, jika Kerajaan parti saya tidak pernah menolong saya sebagai seorang usahawan yang saya ada merit-nya dan cukup syarat? Bagaimana ada usahawan tanpa ada kursus pengalaman untuk mendapatkan lesen kontrector?

Kerajaan yang memerintah harus sedar bahawa usahawan usahawan Negara adalah nadi sesebuah Kerajaan, tanpa mereka boleh saja Kerajaan itu jatuh, walaupun wang bukan segala galanya. Tapi wang juga penting untuk survival penyokong penyokong parti dengan cara halal dan tidak ber-kroni.
HZ

Wednesday, February 11, 2009

ANALISIS: KEJATUHAN PAKATAN RAKYAT KESAN POLITIK MASA DEPAN UMNO?

Dengan terlantiknya Menteri Besar baru di Perak semalam, UMNO kini mendapat semula kuasanya yang hilang selama 11 bulan apabila rakyat menafikan kuasa itu pada Pilihanraya Umum 8 Mac 2008. Soal kuasa itu sah atau sebaliknya, hakikatnya UMNO yang mengemudi kerajaan Perak selepas ini. Kejayaan UMNO kembali semula berkuasa menerusi apa yang disifatkan satu 'Rampas Kuasa' siang hari itu benar-benar mengembira & melegakan UMNO khasnya bakal PM, Najib. Dengan apa yang berlaku bolehlah UMNO menuntut & mengatakan bahawa parti itu mendapat sokongan Melayu & memulihkan semula kedudukan parti berkenaan. UMNO boleh mendabit dada kononnya parti itu sebenarnya yang diingini oleh orang Melayu Perak. UMNO juga boleh berangan-angan mengatakan parti merekalah dipercayai rakyat seluruhnya. Atau UMNO juga boleh mengakui partinya turut sama direstui Istana apabila Sultan Azlan Shah bersetuju melantik MB & tidak bersetuju membubarkan DUN Perak seperti mana diminta oleh Pakatan Rakyat.
-
Apapun UMNO tidak perlu peduli. Restu dari Istana adalah penting dalam konteks politik negara ini. Samada tindakan Istana itu betul atau sebaliknya itu soal lain. UMNO menampakkan kuasa yang mereka perolehi itu betul dengan mencari tukang-tukang untuk mencanangkan tindakan itu betul & tepat. Banyak tukang-tukang demikian yang boleh diupah atau diberikan imbunan pangkat & kedudukan. Tukang-tukang itu boleh menjustifikasikan atas berbagai nama; budibicara, kebijaksanaan atau pandangan jauh Sultan.
-
Adat & kepercayaan kolot orang Melayu meletakkan apa juga yang dilakukan Sultan itu betul walaupun kesalahan dilakukan itu kadang-kadang terang benderang, atau kadang-kadang pada satu masa dulu kita sendari menetangnya & menyokong balik atau menyetujui bila ia memberi keuntungan kepada kita. Buku-buku sejarah mengenai kekejaman Sultan atau Raja-Raja banyak tersimpan di arkib. Kita boleh membacanya untuk mengetahui sifat-sifat ini yang dipakai dari kalangan Raja-Raja Melayu, Inggeris, atau Raja-Raja apa jenis dan bangsa saja dari seluruh dunia.
-
Kononnya, dari semangat Melayu, sesiapa pun gembira dengan terbentuknya kerajaan Perak yang dianggotai oleh Melayu total di Perak itu. Hanya bangsa yang tidak suka kepada bangsanya sendiri saja kalau tidak suka bangsanya menjadi kerajaan. Hanya Melayu yang hilang rupa diri & akal budi saja tidak menyokong Melayu. Bagaimana pun bila ada yang mempertikaikan perlantikan atau pertukaran kerajaan itu ialah dari segi teknikalnya yang dikira sangat menjijikkan & tidak adil?
-
Dengan terlantiknya Zambry Abdul Kadir itu orang Melayu Perak kini tidak perlu bimbang lagi mengenai keselamatan mereka. Hak-hak Melayu, kepentingan Islam pasti akan terbela dengan utuhnya. Soal tanah rizeb Melayu pasti akan terjaga dengan eloknya. Projek atau kontrak kerajaan tidak akan jatuh ke tangan Cina lagi. Begitu juga dengan kawasan balak tidak lagi jatuh ke tangan Cina. Semuanya akan dapat kepada Melayu kerana kerajaan MB yang ada kini bukan lagi menjadi boneka kepada mana-mana Cina. Mungkin dalam masa sesegeranya juga Zambry akan memansuhkan semula polisi Pakatan Rakyat yang memberi gerak tanah milik kekal kepada penduduk kampung baru seperti mana pantasnya tindakan UMNO sebelum ini mempertikaikan pemberian itu.
-
Dari satu segi itulah yang dapat dilihat & dirasai terhadap perubahan drastik yang berlaku di Perak. Memang UMNO boleh bergembira & orang Melayu boleh membuat kenduri kesyukuran dengan menyembelih unta atau gajah.
-
Tetapi dari sudut lain kemelut politik yang membawa perubahan kepada kerajaan itu meninggalkan kesan yang menakutkan untuk masa depan medan politik negara ini & inilah yang menjadi masalah baru kepada UMNO & BN.
-
Kejadian di Perak itu membuka kepada dimensi hubungan atau perpaduan politik negara ini tidak baik. Mungkin kerana terlalu gembira orang Melayu UMNO tidak sedar bahawa di sebalik kemeriah & sorak sorai Melayu UMNO itu ada pihak lain yang kecewa. Hakikatnya kejayaan UMNO itu dirayakan oleh Melayu UMNO saja tetapi tidak oleh Melayu lain & kaum lain. Apakah situasi ini disedari oleh UMNO?
-
Realiti ini jelas sehingga semalam saya belum terbaca ulasan & juga mendengar komen daripada pemimpin Cina dalam Gerakan atau MCA berhubung kejayaan UMNO itu. Apakah mereka tidak ditanya atau mereka enggan mengulas atas kepentingan politik? Yang ada memberi ulasan menggambarkan mereka suka dengan apa yang berlaku itu hanya orang-orang Cina marhaen sahaja.
Apakah sikap senyap & membisu mereka itu menandakan mereka marah? Mereka tidak setuju kerajaan Perak yang didominasi kaum Cina (DAP) dijatuhkan? Ini perkara yang sepatutnya diberi perhatian oleh UMNO di sebalik sorak sorai itu. Jelas apa yang berlaku dan dilakukan itu menyakiti orang Cina. Orang Cina beranggapan seolah mereka tidak perlu diberikan peluang menjadi kerajaan menurut perlembagaan yang ada & perlu ditumbangkan. Dalam hal ini mereka tidak mengira siapa Cina yang menguasi kerajaan Perak itu, MCA, Gerakan, DAP atau PKR? Tetapi orang Cina pasti merasa bangga kerana rakan mereka dalam DAP dapat menguasai sebuah kerajaan negeri.
-
Apa yang dibayangkan oleh Mahathir seperti yang berlaku di Perak itu memberi kesulitan atau keburukan kepada BN khususnya UMNO pada Pilihanraya Umum ke 13 adalah tepat. Dapat diselami kata-kata Mahathir itu bahawa dengan apa yang berlaku orang Cina akan membenci UMNO atau sokongan orang Cina kepada UMNO/BN makin merosot. Mahathir boleh berkata begitu kerana beliau faham & ada pengalaman dengan sikap politik orang Cina. Mahathir pernah kalah tahun 1969 di Kota Star disebabkan orang Cina tidak mengundinya hanya disebabkan beliau berkata beliau tidak perlu undi Cina. Sejarah dialami Mahathir itu seharusnya dijadikan iktibar kepada Melayu UMNO.
-
Disebabkan keintiman masyarakat Cina itu begitu kental kesan atau rasa sakit hati orang Cina itu bukan saja di Perak tetapi di seluruh Malaysia. Ia tidak boleh bendung daripada menjalar di negeri-negeri lain juga. Sudah pasti Cina di Pulau Pinang akan melepas marah & dendam dengan apa yang berlaku di Perak itu dengan memberi sokongan pada kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Begitu juga halnya di Negeri Sembilan..
-
Pada saya ini sangat bahaya bagi UMNO. Politik rakus & tidak menghormati hak orang lain & mencerminkan ketamakan kuasa memberi kesan buruk & kegembiraan sekejap saja. Dari segi politik jangka panjang apa yang dilakukan UMNO itu tidak bijak. Kesan daripada tindakan ini ialah kepada Najib Razak. Kerakusan Najib itu akan dilihat sebagai itulah stail & pendekatan Najib apabila beliau menjadi PM kelak. Dalam hal ini Najib untung dalam mengambil hati orang Melayu untuk mendokong beliau sebagai PM tetapi pada masa sama beliau telah mengguriskan hati orang Cina dengan apa yang berlaku itu.
-
Memerhati perkembangan yang berlaku hari ini saya tidak tergamak untuk mengatakan kemungkinan dengan apa yang berlaku ini menyebabkan MCA & Gerakan atau parti-parti Cina di Sabah dan Sarawak & seluruh orang Cina sedang membuat 'homework' baru dalam hubungan politik mereka dengan UMNO. Tragedi 'Rampasan Kuasa' di Perak yang berlindung di Istana itu boleh menyebabkan kaum Cina menyemak balik persefahaman politik mereka dengan UMNO.
-
Di sini terlalu awal untuk mengatakan mereka akan membuat reform politik besar-besaran dengan memberi sokongan kepada PKR & PAS bagi menyertai rakan mereka DAP dalam Pakatan Rakyat itu tetapi kemungkinan itu tidak mustahil. Jadi UMNO perlu insaf & sedar hal ini kalau tidak kejayaan di Perak itu bukan memberi satu kegembiraan tetapi akan menganugerahkan kesedihan berpanjangan kepada UMNO/BN khususnya dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Tuesday, February 10, 2009

Kenyataan Balas AMK Terhadap Karpal Singh

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

8 Feb 2009

Kenyataan Balas AMK Terhadap Karpal Singh

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin memberi kenyataan balas ke atas apa yang telah dibangkitkan oleh Pengerusi DAP, YB Karpal Singh di dalam kenyataannya semalam.

Karpal dilaporkan menggesa Ketua Umum keADILan yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti daripada memimpin ikatan pembangkang berikutan Dato' Seri Anwar dilihat sebagai bertanggungjawab mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan 'keharmonian' dalam Pakatan Rakyat.

AMK berpendapat bahawa sandaran fakta yang dinyatakan oleh Karpal adalah sangat samar dan tidak mengambil kira beberapa fakta penting di dalam kronologi kes yang berlaku seusai Pilihanraya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008.

Pendedahan yang dibuat oleh Saudara Fauzi Muda, Ketua KeADILan Bahagian Ipoh Barat bahawa ada usaha untuk membeli beberapa ADUN Pakatan Rakyat di Perak untuk menyertai BN dengan wang puluhan juta ringgit membuktikan bahawa usaha lompat parti ini dicetuskan dengan jijik oleh Umno-BN di bawah kepimpinan Najib Tun Razak.

AMK juga berharap agar Karpal tidak lupa bagaimana ADUN DAP di Tronoh yang juga Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mendedahkan yang beliau pernah ditawarkan habuan sebanyak RM65 juta untuk melompat ke dalam BN agar BN boleh membentuk kerajaan di Perak.

Apa yang melibatkan Datuk Nasaruddin Hashim, ADUN Bota yang didakwa Karpal dipujuk oleh Anwar menyertai keADILan dan kembali ke dalam Umno 10 hari berikutnya, bukanlah inisiatif baik Anwar mahupun Pakatan Rakyat, sebaliknya sebagaimana yang diperjelaskan oleh Anwar bahawa Datuk Nasaruddin secara ikhlas menemui Anwar untuk menyertai keADILan. Ini seterusnya diikuti dengan kehilangan Datuk Nasaruddin pada pagi 5 Februari 2009 dan dikhabarkan diculik untuk membuat pengakuan kembali ke dalam Umno sebagaimana yang disahkan oleh keluarga beliau.

Karpal seharusnya dapat membezakan antara lompat parti yang berasaskan idealisme perjuangan ataupun berasaskan habuan kewangan dan ugutan. Tidak timbul mana-mana usaha bahawa Pakatan melalui keADILan mahupun Anwar memujuk mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN Umno-BN untuk menyertai Pakatan Rakyat, sebaliknya merekalah di peringkat permulaan yang datang mendekati Pakatan dan menawarkan diri untuk bersama Pakatan dalam perjuangan yang lebih realistik.

AMK percaya keluh kesah Karpal ini adalah berpunca daripada muafakat yang dipupuk oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat secara kolektif oleh kepimpinan ketiga-tiga parti yakni keADILan, DAP dan PAS yang menolak untuk hajat Karpal untuk menyaman DYMM Tuanku Sultan Perak. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat percaya bahawa apa yang berlaku sebenarnya ialah eksploitasi yang dilakukan oleh Umno-BN melalui Najib untuk membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Justeru dalam hal ini, bukanlah DYMM Sultan Perak yang wajar menjadi sasaran, sebaliknya tindakan Umno-BN dan Najib yang sanggup menghalalkan pelanggaran undang-undang untuk membentuk kerajaan haram BN di Perak.

AMK berharap agar Karpal tidak mudah membiarkan diri beliau dimanipulasi oleh agenda jijik Umno-BN untuk mengganggu-gugat kestabilan Pakatan Rakyat seluruhnya yang telah terbukti mampu memecahkan hegemoni usang Umno-BN.

Karpal juga disarankan untuk tidak bertindak secara 'one man show' dalam mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan keputusan yang dicapai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam beberapa isu yang berbangkit mutakhir ini. Dengan sokongan terbuka yang diberikan oleh DAP melalui Setiausaha Agungnya YAB Lim Guan Eng dan Ketua Whip DAP YB Lim Kit Siang ke atas kepimpinan Dato' Seri Anwar, adalah diharapkan agar Karpal dapat menarik balik kenyataan beliau di atas semangat muafakat Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui secara kolektif.

Muafakat yang dipupuk ini adalah muafakat yang diinginkan oleh rakyat untuk melihat Malaysia baru dijelmakan dalam konteks politik baru. Justeru adalah sangat malang sekiranya masih ada pihak yang sanggup dipasung minda mereka untuk mengikut arus politik songsang yang dimainkan oleh Umno-BN.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Wednesday, February 4, 2009

Kenapa Zionisme muncul dalam fikrah Melayu?

Hishamuddin Rais | Jan 22, 09 6:20pm
Sewaktu saya menulis artikel ini, Kuala Terengganu telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Ketika saya menulis, warga Palestin di Gaza masih lagi digodam. Ketika saya menulis, masih ramai lagi warganegara kita ini kurang faham tentang apakah itu Zionisme.

Zionisme ini satu pandangan politik. Zionisme bukan orang Yahudi tetapi pengasas Zionisme memang seorang Yahudi. Hari ini Zionisme bukan lagi milik eksklusif orang Yahudi. Zionisme yang wujud dan sedang menggodam rakyat Palestin ini majoritinya didukung hebat oleh individu dan kumpulan yang bukan Yahudi.

Agama Yahudi ialah Judaism. Kitab suci agama ini adalah Torah. Rumah sembahyang penganut agama ini dipanggil synagogue. Kepala agama mereka dipanggil rabbai. Maklumat ini mungkin semua telah diketahui umum.

Wajib juga diketahui bahawa ramai orang Yahudi sendiri yang menentang Zionisme. Di Isreal sendiri ada kumpulan penganut Judaisme yang menentang keras fahaman Zionisme. Mereka menolak masuknya fahaman Zionisme ini ke Palestin.

Untuk kumpulan ini, mereka percaya bahawa fahaman atau ideologi Zionisme telah membawa porak-peranda dan kesengsaraan terhadap orang-orang Yahudi di seluruh dunia dan juga kesengsaraan yang tidak terhingga kepada warga Palestin.

Kumpulan ini bernama Neturei Karta – mereka ini pada 2006 telah datang ke Iran atas jemputan Ahmadinejad, presiden Iran. Neturei Karta bersama rakyat dunia telah mengutuk negara yang dipanggil Israel.

Neturei Karta adalah kumpulan Yahudi yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Mereka juga menentang Zionisme bermatian-matian.

Perkembangan ini menjadi satu bukti bahawa Zionisme bukan ajaran Judaisme. Zionisme adalah falsafah yang menggunakan agama sebagai jubah untuk mengabui mata penganut agama Judaisme.

Ramai pemikir dan intelektual Yahudi yang unggul dalam ilmu pengetahuan dan falsafah juga menentang fahaman Zionisme. Noam Chomsky seorang daripada mereka. Susuk intelektual ini adalah suara Yahudi yang paling lantang menentang keganasan Israel.

Albert Einstein ahli sains yang menemui teori e=mc2 seorang lagi Yahudi yang anti-Zionisme.

Di Israel sendiri, ramai orang Yahudi-Israel yang menentang fahaman tersebut. Mordechai Vanunu adalah contoh terbaik warga Isreal yang menentang Zionisme.

Susuk ini telah membocorkan kepada dunia tentang senjata nuklear Israel yang kini tersimpan secara rashia di padang pasir Negev. Vanunu diperangkap dan diculik dari London untuk dibawa pulang ke Israel.

Kerana membocorkan rashia 'bom nukelar' Israel dan memberi amaran kepada dunia tentang bahayanya Zionisme, Vanunu telah dipenjara selama 20 tahun sejak 1986. Selama 18 tahun Vanunu dikurung bersendirian. Apabila dibebaskan, Vanunu terus ditahan lagi. Hingga ke hari ini Vanunu tidak boleh keluar meninggalkan Israel.

Pada ketika saya menulis ini, berpuluh-puluh anak muda Israel yang sedang dipenjara kerana tidak mahu mengangkat senjata membunuh warga Arab Palestin. Juga terdapat beratus-ratus anak muda dan warga Israel telah lari meninggalkan negara itu kerana menentang perang dan keganasan daulah Israel.

Semua ini bukti bahawa bukan semua Yahudi itu Zionis. Bukan semua Yahudi menyokong Israel.

Saya mengulangi ini kerana saya perhatikan terlalu ramai warga Malaysia menganggap konflik Palestin-Israel sebagai konflik agama, terutama di kalangan Melayu. Pandangan ini salah. Konflik di Palestin bukan konflik agama. Konflik ini konflik hak milik bumi tanah Palestin. Ia lahir kerana bumi Palestin telah dirampas oleh penganut fahaman Zionisme untuk mendirikan apa yang kini dipanggil Israel.

Konflik di Gaza, Tebing Barat, Jenin, Hebron – umumnya konflik Arab-Israel – bukan konflik antara penganut Islam dengan penganut Yahudi.

Wajib diketahui ada hampir 10 peratus warga Palestin beragama Kristian. Hanan Ashrawi perempuan yang pada 1980-an sering kita dengar namanya kerana memulakan rundingan damai Palestin-Israel ialah seorang Kristian. Edward Said intelektual bertaraf dunia itu seorang Kristian.

George Habaash pemimpin Popular Front for Liberation of Palestine beragama Kristian. Kristian di Palestin adalah Kristian yang berasal-usul dari susur galur pengikut Isa kerana nabi itu dilahirkan di Nazareth, Palestin.

Betul, agama dilihat memainkan peranan penting tetapi yang diperjuangkan ialah menuntut kembali bumi Palestin yang telah dirompak dan dirampas oleh penganut Zionisme. Tanah air Palestin yang telah dirampas ini melahirkan nasionalisme Palestin.
Semangat nasionalisme inilah yang membolehkan rakyat Palestin terus berjuang bermati-matian menentang bala tentera yang terbesar di Timur Tengah.

Kita wajib memahami dengan lebih mendalam tentang apa itu Zionisme. Fahaman ini percaya kepada satu bangsa – Yahudi. Hanya bangsa Yahudi sahaja yang terpilih. Yahudi sahaja yang ada hak keistemewaan di Israel.

Bangsa-bangsa lain diangggap bangsa kelas kedua. Agama orang lain salah. Kitab suci agama mereka sahaja yang betul. Kitab suci agama lain dianggap menyeleweng. Hanya agama mereka sahaja yang dipilih oleh Yang Maha Esa. Justeru, di sini jelas bahawa Zionisme ialah satu fahaman rasis.

Apa yang kita lihat di Gaza dan Tebing Barat hari ini adalah manifestasi daripada fahaman ini. Keganasan yang wujud di Palestin adalah hasil daripada falsafah rasis Zionisme. Merompak tanah-tanah warga Palestin, menghalau mereka keluar dari tanah air mereka juga manifestasi dari fahaman rasis ini.

Kita dikatakan hanya dapat memberikan bantuan ubatan-ubatan, wang ringgit, makanan atau menerima warga Palestin datang ke negara kita untuk belajar atau menetap. Semua ini betul. Semua ini amat-amat dihargai. Semua ini adalah kerja baik yang wajib diteruskan.

Tetapi saya menolak pandangan yang mengatakan bahawa kita tidak dapat membuat apa-apa lagi untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin. Pasti ada lebih daripada ini yang dapat kita sama-sama lakukan.

Pada hari ini bukan susah untuk kita memahami bahawa pendukung unggul fahaman Zionisme dan Israel ialah Amerika Syarikat. Ini bukan kerana adanya Yahudi di New York atau California. Zionisme wujud kukuh di Amerika kerana kepentingan ekonomi Amerika pada ketika ini berjalan selari dengan kepentingan Zionisme dan Israel.

Bukan sahaja Zionis Israel mendapat sokongan kuat dari Amerika, malah Kesatuan Eropah – Perancis, Jerman, Itali – semuanya menyokong Israel. Ini bukan kerana mereka cintakan Yahudi atau benci kepada Palestin – TIDAK. Mereka menyokong Israel kerana kepentingan ekonomi mereka.

Ekonomilah yang menjadi asas kepada fahaman Zionisme ini. Pemodal–pemodal global melihat bahawa Zionisme dapat membantu mereka meneruskan dan mengembangkan modal mereka. Kaum pemodal antarabangsa melihat fahaman Zionisme ini sedang memberikan keuntungan melimpah ruah.

Industri persenjataan dunia bergantung kepada perang. Dengan wujudnya perang atau konflik yang berkemungkinan membawa perang adalah cuaca dan suasana yang amat baik untuk pembuat dan peniaga senjata antarabangsa.

Israel yang sedang memporakperandakan Timur Tengah adalah pemangkin perang.

Lihat bagaimana Amerika menjual dan membekal senjata kepada Isreal - ia menakut-nakutkan negara-negara Arab. Suasana takut ini memberi peluang kepada Amerika untuk menjual senjata kepada Mesir, Jordan dan Arab Saudi.

Negara-negara ini tidak ada bezanya dengan Zionis Israel. Mereka tidak berani secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel – takut kepada rakyat mereka sendiri. Tetapi perangai dan tingkah laku terhadap warga mereka tidak jauh berbeza daripada apa yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin.

Apabila kita telah memahami semua ini, saya rasa kita akan dapat melakuan lebih daripada apa yang sedang kita lakukan hari ini. Ada satu perkara yang dapat kita lakukan bersama yang pasti akan memberikan tamparan maut kepada Zionisme. Pekara ini ialah menentang sifat dan fahaman Zionisme di mana sahaja ia muncul dan bertapak.

Zionisme pada ketika ini bukan lagi bergerak di Israel atau di Palestin sahaja. Zionisme telah menjadi fahaman yang meluas dan telah melintasi sempadan Israel. Jika sesiapa memiliki ciri-ciri fahaman rasis yang telah dinyatakan tadi bermakna mereka juga pendukung Zionisme. Zionisme ialah kezaliman.

Di sini ingin saya nyatakan bahawa kita tidak perlu ke Palestin untuk menentang kezaliman. Apa yang perlu kita lakukan ialah menentang kezaliman dan kejahatan di mana sahaja ia berada, termasuk dalam negara kita sendiri. Zionisme tidak memiliki sempadan.

Tetapi, saya agak kecewa apabila melihat orang Melayu berlumba-lumba bangun menentang Isreal yang zalim. Mereka bertempik marah apabila rumah diruntuhkan di Hebron. Tetapi mereka tidak bersuara apabila rumah diruntuhkan di Kampong Berembang atau di Plentong atau di Chubadak.

Orang Melayu marah apabila masjid diroboh di Jenin tetapi orang Melayu tidak marah apabila melihat gereja Orang Asli diruntuhkan di Gua Musang.

Orang Melayu keluar berdemonstrasi kerana tanah rakyat Palestin dirampas tetapi mereka tidak pula bersuara apabila tanah-tanah Orang Penan dirampas. Mereka tidak pula bersuara apabila tanah adat di Sarawak satu demi satu dirampas oleh pemodal antarabangsa.

Hairan. Di mana silapnya fikrah Melayu ini? Kenapa bangsa Melayu memiliki nilai yang setengah jalan? Di mana akal fikrah mereka terputus?

Kalau di Palestin mereka yakin rakyat di sana sedang dizalami, kenapa apabila orang Penan dizalimi hati mereka tidak tergerak untuk membantu?

Apakah mereka tidak memahami bahawa kezaliman dan kejahatan itu tidak berbangsa dan tidak beragama? Kebaikan dan keadilan juga tidak berbangsa dan beragama.

Orang Melayu tidak dapat menerima Ketuanan Yahudi tetapi bagaimana orang Melayu yang sama dapat pula menerima Ketuanan Melayu? Di mana songsangnya fikrah Melayu ini? Apakah mereka telah terputus nilai kemanusiaannya?

Justeru sesudah membaca tulisan ini, marilah kita bersama-sama meneliti dan menilai kembali nilai Melayu kita. Apakah kita benar-benar faham tentang kezaliman dan keadilan.

Atau kita hanya menjadi pak turut – ber-Gaza ke hulu ber-Gaza ke hilir. Orang bercakap hal Gaza, maka kita pun bercakap hal Gaza tanpa kita melihat ke dalam hati nurani kita sendiri.

Politik bergolak: Najib @ Anwar menang?

Amin Iskandar | Feb 3, 09 7:40pm
Semenjak pilihanraya umum tahun lalu, rakyat Malaysia tidak sunyi daripada pergolakan politik yang menyaksikan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sentiasa bertempur.

Politik pilihanraya di Malaysia sentiasa panas - daripada pilihanraya umum kepada dua pilihanraya kecil. Selepas 8 Mac, pertempuran berterusan di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu.

kuala terengganu by election voting day 170109 street 03Setakat dua pilihanraya kecil yang berlangsung, kesemuanya memihak kepada Pakatan - fenomena baru kerana dalam sejarah politik negara, pilihanraya kecil jarang sekali tidak memihak kepada BN.

Cuma kes-kes terpencil seperti pilihanraya kecil DUN Lunas dan Anak Bukit yang menyaksikan parti pembangkang berjaya memenanginya.

Dalam pilihanraya kecil, BN mampu mengerahkan seluruh jentera kerajaan dan media arus perdana untuk membantu mereka menang.

Di pihak pembangkang pula, mereka hanya bergantung kepada media-media alternatif dan jentera parti untuk berkempen dengan tampungan dana yang kecil.

Namun keadaan kini telah berbeza. Strategi lama yang sering digunapakai oleh BN tidak lagi berjaya untuk menarik pengundi. Walaupun mempunyai kelebihan undi pos, BN tetap gagal dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Selepas pilihanraya kecil 17 Januari lalu yang menyaksikan Pakatan merampas kerusi P36 daripada BN, politik negara terus bergolak.

Semuanya bermula dengan kemasukkan Adun Bota, Nasharuddin Hashim daripada Umno kepada PKR pada 25 Januari.

Kemasukan “orang lama” Umno itu memberikan tamparan hebat kepada Umno terutamanya timbalan perdana menteri Najib Razak yang akan mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah Badawi bulan depan.

Tamparan hebat yang diterima oleh beliau akibat kekalahan pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu belum lagi pulih dan kini beliau ditampar lagi apabila Adun Umno menyertai PKR.

Belum reda Pakatan Rakyat di Perak merayakan kemasukan Nasharuddin, krisis terbaru muncul. Kali ini lebih hebat lagi. BN yang terduduk akibat kehilangan seorang Adunnya membuat "serangan balas".

Bermula dengan kehilangan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu - kedua-duanya exco kerajaan Perak dari PKR - selama beberapa hari sehingga menteri besa dan ahli keluarga gagal menghubungi mereka.

jamaluddin mat radzi and osman jailu perak pkrDesas-desus kuat mengatakan bahawa dua pemimpin PKR ini berada di Pekan, Pahang - kubu kuat Najib.

Kerajaan Perak yang dipimpin oleh Pakatan tidak hanya duduk diam dalam menghadapi permasalahan ini. Speaker DUN V Sivakumar mengumumkan pada bahawa beliau menerima surat peletakan jawatan daripada kedua-dua Adun tersebut.

Katanya, beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faksimili pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya.

Keesokan harinya, beliau memaklumkan SPR Perak mengenai perkara tersebut dan menyerahkan notis pengosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering. Beliau turut menyerahkan surat peletakan jawatan kedua-dua wakil rakyat tersebut.

Tindakan Sivakumar telah memecahkan kebuntuan. Kedua-dua wakil rakyat yang hilang muncul dan menafikan peletakan jawatan mereka menerusi media.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan pilihanraya kecil tidak adakan diadakan kerana kedua-duanya masih lagi wakil rakyat yang sah dan menolak surat peletakan jawatan mereka yang diserah oleh Sivakumar.

Keputusan SPR itu bagaimanapun dicabar. Pakatan Rakyat di Perak memberikan tempoh 48 jam untuk suruhanjaya itu menarik balik keputusan itu atau menghadapi tindakan mereka selanjutnya.


(ii)

Jamaluddin dan Mohd Osman sedang menghadapai pertuduhan rasuah yang akan mula dibicarakan pada 10 Febuari ini.

Menurut dakwaan pemimpin PKR, jika mereka menyertai Umno, dakwaan kes rasuah tersebut akan digugurkan.

Dari segi politik, adalah tidak bijak bagi Umno untuk menerima dua exco kerajaan negeri yang sedang terpalit dengan tuduhan rasuah ini. Jika Umno tetap menerima mereka, sahlah apa yang dituduh selama ini bahawa Umno parti yang mempertahankan rasuah.

Tindakan pantas yang diambil oleh kerajaan Perak telah menyebabkan Umno dan Barisan Nasional berada dalam keadaan tertekan.

Ia ditambah dengan pengakuan bersumpah seorang ketua bahagian PKR dan laporan polis yang dibuat oleh exco kerajaan Kedah semalam.

perak pkr pc fauzi muda pc statutory declaration najib 010209Fauzi Muda dari Ipoh Barat mendedahkan dalam akuan berkanunnya, mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak menawarkan RM50 juta kepadanya untuk memujuk dua Adun PKR itu untuk menyertai BN, sekali gus menumbangkan kerajaan Pakatan Perak.

Fauzi seterusnya mencabar Najib yang juga timbalan presiden Umno untuk menafikan dakwaannya itu.

Sehingga kini, Najib belum lagi menyahut cabaran Fauzi untuk menafikan tuduhan tersebut walaupun bekas timbalannya di Kementerian Pertahanan, Zainal Abidin Zin telah mengesahkan pertemuan tersebut di kediaman rasminya di Putrajaya.

Adun PKR Kedah itu, V Arumugam mendakwa usaha menariknya meninggalkan PKR bermula sejak kemenangannya tahun lepas.

Beliau membuat satu laporan polis, mendakwa ugutan jenayah terhadapnya, keluarganya dan pegawai-pegawainya, antaranya:

bullet button cubaan menculiknya pada 17 Oktober tahun lepas,
bullet button diugut melalui pegawainya dengan panggilan telefon, antaranya pada 31 Mac tahun lalu,
bullet button cermin kereta rasmi exco kerajaan negeri yang diguna olehnya dipecahkan dengan meninggalkan nota ugutan yang diikat pada seketul batu pada 17 Disember lalu, dan
bullet button beberapa individu dihantar untuk memujuknya keluar dari PKR, yang terbaru sekali beberapa hari yang lalu, dengan beberapa tawaran lumayan.

Arumugam VengatarakooMenurut Arumugam lagi, beliau membuat laporan polis oleh kerana khuatir terhadap keselamatan diri dan keluarganya selepas melihat perkembangan yang berlaku di Perak sekarang.

Kedua-dua dakwaan ini sekaligus ibarat “mempalitkan arang” kemuka Najib yang seharusnya merayakan kemasukan dua Adun PKR bersama BN. Tambahan lagi, Najib akan menjadi presiden Umno secara rasmi pada Mac.

Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh Najib. Selain menjawab pertuduhan-pertuduhan berat yang dilemparkan terhadap dirinya, persepsi umum masih lagi belum dapat dipulihkan mengenai penglibatan dirinya dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu - walau beliau sering menafikannya.

Dalam pertempuran hebat dan yang belum pernah berhenti semenjak tsunami politik 8 Mac, Malaysia berada di persimpangan: Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat? Sama ada Najib Razak atau Anwar Ibrahim?

Monday, February 2, 2009

Lompat Parti: siapa yang sebenarnya tidak bermoral?

oleh Lensa Sakti

Beberapa hari lalu, ketika berita Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim menyertai PKR masih hangat membakar Umno, PM Abdullah Ahmad Badawi mengatakan tindakan lompat parti sebagai tidak bermoral dan mengkhianati pengundi.

Namun, dalam masa terdekat ini telah berlaku isu lompat parti oleh dua Exco negeri Perak dari PKR. Dengan bangganya, PM menyatakan akan ada lagi Adun PR yang akan melompat ke BN. Apakah Paklah sedar ataupun bermimpi di siang hari sehinggakan terlupa atau sengaja menulikan hatinya akan kenyataannya sebelum ini?

Hakikatnya, rakyat telah muak lagi jelik dengan peranan media utama kawalan BN yang konsisten memainkan isu tersebut kebelakangan ini. Dalam isu ini, ketara lagi jelas sikap pemimpin Umno yang bagaikan menjilat ludah sendiri. Siapa yang sebenarnya tidak bermoral?

Renung-renung, fikir-fikir dan fahami situasi...jangan kita terpesong dengan mainan gimik politik Umno yang terdesak itu!

Speaker: Dua Adun PKR Perak letak jawatan

Speaker: Dua Adun PKR Perak letak jawatan
Feb 1, 09 8:15pm

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Katanya, beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faks pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya.

Jamaluddin dan Osman juga merupakan ahli exco kerajaan negeri Perak.

"Mereka telah meletak jawatan sebagai Adun, berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan itu, Sivakumar mengisytiharkan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering telah kosong dan dua pilihanraya kecil akan diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, beliau akan memaklumkan mengenai kekosongan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) esok/

pkr permatang pc 230808 perak exco jamaluddin and osmanPilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi tersebut mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Kedua-dua Adun PKR itu telah hilang sejak lima hari lalu, dan mencetuskan spekulasi bahawa mereka telah melompat menyertai Barisan Nasional.

Sivakumar tidak menyatakan bagaimana beliau menerima surat peletakan jawatan tersebut.

Dua Adun PKR itu 'hilang' sejak lima hari lalu, sekaligus mencetuskan spekulasi yang mereka telah melompat menyertai Barisan Nasional.

Jamaluddin, 52, dan Osman, 57, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos tahun lalu kerana didakwa menerima rasuah berhubung permohonan satu projek perumahan berharga RM180 di Sri Iskandar di Perak Tengah. Kes mereka akan didengar pada 10 Februari depan.

Jamaluddin: Saya tidak letak jawatan

Bagaimanapun, pengumuman speaker mengenai peletakan jawatan kedua-dua Adun PKR itu dipertikaikan, sekurang-kurangnya oleh Jamaluddin.

Menurut laporan The Star Online, Jamaluddin dilaporkan menafikan yang beliau telah meletakkan jawatan sebagai Adun. Beliau juga mencabar kesahihan surat peletakan jawatannya itu.

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan surat tidak bertarikh yang mana beliau dan enam lagi Adun PKR diminta tandatangani pada Mac tahun lalu.

Katanya, surat itu hanyalah satu ikrar taat setia, yang menyatakan jika mereka (Adun) keluar dari PKR, maka mereka akan secara automatik mengosongkan kerusi masing-masing.

"Saya masih Adun Behrang," Jamaluddin dipetik sebagai berkata.

Oleh itu, katanya, beliau dan Osman masih Adun PKR dan tidak pernah menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu atau menjadi wakil bebas, atau hendak menyertai Umno, lapor Bernama.

Ini merupakan kali pertama beliau memperjelaskan keadaan sejak dilaporkan hilang lima hari lalu, di tengah-tengah spekulasi yang mereka menyertai BN.

Jamaluddin juga berkata, beliau mengambil cuti sakit sejak hari Rabu, dan menafikan beliau hilang.

Bperak majority slim 300109eliau bagaimanapun enggan menyatakan di mana beliau berada semasa dikatakan 'hilang' itu.

Sementara itu, difahamkan kesemua wakil rakyat Pakatan Rakyat telah berkumpul di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Mohamad Nizar Jamaluddin di Ipoh untuk menghadiri satu mesyuarat tergempar.

Pakatan kini menguasai 32 daripada 59 kerusi di DUN Perak. BN pula mempunyai 27 kerusi.

Awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan beberapa Adun Pakatan Rakyat mungkin akan menyertai BN.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti Adun terbabit.


Kenyataan Media PPN Perak

–KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–
Ipoh, 31 Januari 2009

Kami ingin memaklumkan dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dari Parti Keadilan Rakyat; YB Jamaluddin Mat Radzi dan YB Osman Bin Jailu tidak dapat dihubungi sejak empat hari yang lalu, bukan sahaja oleh parti tetapi juga oleh ahli keluarga mereka.

Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10hb Februari 2009.

Dari awal lagi kami amat yakin pertuduhan dalam kes tersebut adalah satu pertuduhan palsu yang direkacipta oleh UMNO dan BN sebagai satu ugutan politik.

Kami percaya ada usaha dari Barisan Nasional untuk memujuk kedua-dua Exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Dato’ Seri Najib termasuk menggugurkan kes rasuah mereka.

Namun kami berharap kedua-dua pemimpin ini berada dalam keadaan selamat dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti selama ini dan tidak terperangkap dengan muslihat UMNO-BN yang kononnya inginkan penyertaan mereka untuk membela nasib Melayu.

HAJI OSMAN ABDUL RAHMAN
Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Perak