

6 Sep, 2009 - Majlis Berbuka Puasa Cabang Rasah telah diadakan di rumah Ketua Ranting Labu Hilir, Sdr Mohamad. Setelah menghabiskan hampir separuh hari menziarahi rumah penduduk-penduduk di sekitar Labu Hilir bagi menyampaikan bantuan, kami telah dijamu dengan juadah berbuka yang cukup istimewa disediakan oleh isteri Sdr Mohamad.
Majlis berbuka ini sepatutnya diadakan di Masjid Labu Hilir bersama dengan penduduk dan ahli kariah masjid. Walaubagaimanapun ianya terpaksa di tukar di saat-saat akhir ke rumah Sdr Mohamad setelah wujudnya halangan dari pihak-pihak tertentu. Menurut Tuan Haji Mohamad Kamil, beliau amat kesal kerana sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, masih ada golongan pimpinan tertentu yang cuba mempolitikkan masjid.
Setelah selesai berbuka, kami telah bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diketuai oleh Sdr Mohamad Yusof dari Angkatan Muda Keadilan Ranting LBJ. Beliau juga merupakan graduan Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan mantan pensyarah di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam.
Sebelum pulang, kami juga sempat mengadakan Mesyuarat Pengurusan Setiausaha Cabang dan Ranting. Berbagai isu dan maklumat telah dikongsi.
Bagi pihak pimpinan Cabang Rasah, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Sdr Mohamad dan keluarga. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Haji Mohamad Kamil yang telah sudi menaja sumbangan bantuan Ramadhan kali ini. Tidak dilupakan ucapan ribuan terima kasih di atas sumbangan beras oleh YB Dato' Kamarul Baharin, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan.
Kepada seluruh pimpinan dan Anggota Cabang Rasah, kami berharap program ini akan meningkatkan lagi keazaman dan komitmen kita untuk terus membantu rakyat. Semoga segala usaha kita diberkati oleh Allah SWT.