Thursday, January 22, 2009

Zahid cuba memecah belah rakyat Perak

dipetik daripada Harakah Daily.net

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Hrkh) - Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mengikhtiraf borang yang ditandatangani Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan satu ugutan dan biadap terhadap sistem demokrasi Perlembagaan Negara.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut mendakwa bahawa Zahid cuba memecah belahkan perpaduan rakyat khususnya di negeri Perak.

Katanya, kenyataan Zahid itu lebih kepada mendera rakyat kerana rakyat di negeri tidak tahu sesuatu urusan itu perlu diuruskan dengan Pusat atau negeri tetapi mereka hanya mahu segala urusan mereka berjalan lancar.

Contohnya tambah beliau, dalam urusan anak sekolah cop atau tandatangan daripada JKKK atau Penghulu Kampung tidak diikhtiraf dan ini akan menimbulkan masalah kepada rakyat kerana terpaksa berjumpa dengan JKKP yang dilantik oleh kerajaan BN.

"Zahid memang mahu mendera rakyat Perak dan mahu memuaskan nafsunya kerana marah dengan sikap rakyat Perak yang telah memilih pemimpin daripada kalangan Pakatan Rakyat," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Image Mungkin juga beliau mahu menjadi hero dan hendak tunjuk kehebatan beliau sebab hendak bertanding dalam Pemilihan Umno Mac nanti, tegas beliau.

Selain itu beliau turut menyelar tindakan Zahid yang mengkhususkan peruntukan khas hanya untuk wakil rakyat BN jika berlaku bencara seperti banjir, kebakaran dan sebagainya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan itu merupakan satu tindakan yang tidak patut kerana wakil rakyat PAS bukan hanya berkhidmat untuk ahli PAS tetapi semua kaum tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.

"Sudahlah peruntukan sebanyak RM500 ribu kita tidak dapat, ini peruntukan khas wakil rakyat BN saja yang dapat. Sudahlah di peringkat Parlimen wakil rakyat PAS di dera di peringkat negeri juga didera, mana demokrasi?" soalnya.

Ekoran itu kata beliau, mungkin ada pihak yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid kerana arahan tersebut tidak sesuai dengan roh perlembagaan dan ternyata mahu memecah belahkan perpaduan kaum di negeri Perak.

Ini kerana katanya apa perbezaan di antara cop atau tandatangan JKKK dengan JKKP.

Beliau menegaskan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Agama Islam apakah beliau tidak malu mengeluarkan larangan yang memecah belahkan kaum.

Sedangkan katanya dalam Parlimen beliau mengeluarkan kenyataan supaya umat Islam perlu bersatu padu tetapi hari ini beliau cuba memecah belahkan masyarakat di Perak.

"Dengan adanya larangan atau arahan tersebut ternyata beliau cuba menyusahkan rakyat," tegasnya.

Beliau berjanji akan membawa perkara tersebut dalam sidang Dewan Rakyat kerana arahan tersebut melibatkan demokrasi dan apakah larangan itu hanya dilakukan di negeri Perak sahaja. - mns_

***Zahid Hamidi nampaknya masih tidak menerima hakikat Perak telah diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat dan mendapat perkenan DYMM Tuanku Sultan Perak...sememangnya beliau ini bertindak seperti budak kecil.

No comments: