Tuesday, January 20, 2009

Tiga didakwa rasuah pemilihan Umno

Tiga orang, termasuk seorang naib ketua Umno bahagian di Perak, akan dihadapkan ke mahkamah Khamis ini atas tuduhan memberi wang rasuah ketika pemilihan Umno bahagian pada awal
November lalu.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini, naib ketua bahagian Umno berkenaan akan didakwa di mahkamah atas dakwaan memberi wang rasuah sebanyak RM300 kepada seseorang dalam pemilihan Umno bahagian.

Seorang ejen akan didakwa pada tarikh yang sama terhadap tuduhan memberi rasuah sebanyak RM200 kepada seseorang bagi mengundi calon dalam pemilihan ketua bahagian Umno di Pahang, lapor Bernama.

Kes ketiga melibatkan seorang ejen di Melaka, yang akan didakwa di mahkamah pada tarikh sama atas dakwaan memberi rasuah RM200 kepada seseorang untuk mengundi Ketua Bahagian Umno dalam pemilihan Umno baru-baru ini.

Menurut SPRM, ketiga-tiga mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008.

Mesyuarat Umno di peringkat bahagian berlangsung selama sebulan dari 9 Oktober hingga 9 November lalu.

Manakala lanjutan tarikh mesyuarat diberikan kepada lima bahagian Umno yang bermasalah.

Selain memilih kepimpinan di peringkat bahagian, mesyuarat tersebut juga membuat pencalonan bagi jawatan tertinggi Umno unruk pemilihan parti Mac depan.

Mesyuarat bahagia juga memilih perwakilan ke perhimpunan agung tersebut.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan - enam dari kalangan kepimpinan bahagian manakala tujuh lagi dipilih dalam mesyuarat bahagian.

No comments: