Saturday, December 27, 2008

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul RahmanSetiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,' kata beliau dalam sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada jam 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.

"Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Berkabung 40 hari

Katanya jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,' katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada jam 10 pagi esok.

Tuesday, December 23, 2008

Buletin Labu

PKR Dun Labu juga tidak ketinggalan dalam menyebarkan maklumat penting dan berguna kepada penduduk sekitar Dun Labu. Sebuah blog rasmi yang berbentuk online newsletter iaitu Buletin Labu telah diterbitkan oleh Unit Dun Labu. Buletin ini memaparkan isu semasa yang berlaku di sekitar Dun Labu.

Buletin ini juga diterbitkan setiap hari Khamis. Untuk melawat dan mendapatkan maklumat semasa berkenaan di Dun Labu, sila layari:
http://buletinlabu.blogspot.com/

Thursday, December 11, 2008

Sekitar Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Rasah


Sekitar Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Rasah yang telah diadakan pada 11hb Oktober 2008 lalu di Pejabat Perhubungan Negeri. MATB ini berjalan lancar dan mengikut perjalanan Perlembagaan Parti.

MEMORANDUM MENYOKONG KEDAULATAN DAN KEKEBALAN RAJA-RAJA MELAYU DIKEMBALIKAN

    DAULAT TUANKU

      MEMORANDUM MENYOKONG KEDAULATAN DAN KEKEBALAN RAJA-RAJA MELAYU DIKEMBALIKAN

    Ampun Tuanku,

      Bahawa patik Muhamad Kamel bin Yassin mewakili rakyat anak watan Negeri Sembilan Darul Khusus menjunjung kasih mengucapkan selamat kembali ke tanah air dan sayugia hendaknya DYMM Tuanku bersama DYMM Tuanku Permaisuri sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t.

      Daulat Tuanku,

      Mohon dirafa’kan sembah bahawa kami rakyat yang bernaung di bawah payung kebesaran DYMM Tuanku menyokong sepenuhnya titah anakanda tuanku YAM Tunku Naquiyuddin Ibn Tuanku Ja’afar melalui Ceramah Jamuan Tengahari Diraja di Kuala Lumpur baru-baru ini. YAM Tunku Naquiyuddin bertitah supaya Kekebalan Raja-raja dikembalikan demi kedudukan dan kedaulatan Raja-raja.

      Mohon patik menyatakan di dalam Kongres Kali Kelima Parti Keadilan Rakyat di Shah Alam pada 28hb November 2008 yang lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato’ Sri Wan Azizah Dato’ Wan Ismail melalui ucapan dasarnya telah menyatakan kesediaan untuk mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu yang berteraskan semangat Raja Berpelembagaan.

      Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Dato’ Sri Anwar Ibrahim di dalam ucapan penutup Kongres Parti Keadilan Rakyat itu turut menyatakan kedaulatan dan imminuiti Raja-raja Melayu hendaklah dikembalikan semula kepada baginda Raja-raja.

      Ampun Tuanku,

      Demi mengembalikan kedaulatan dan kebesaran Raja-raja Melayu patik bersama sekelian hamba rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus mohon perkenan ke bawah duli Tuanku untuk menggerakkan usaha mengembalikan kekebalan dan kedaulatan Raja-raja seluruhnya sesuai dengan konsep Raja Berpelembagaan.

      Kami hamba rakyat tuanku mohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, dan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku mencemar duli menerima warkah ini.

      DAULAT TUANKU.


      Muhamad Kamel bin Yassin PJK. PMC.

      Tarikh : 6 hb Disember 2008

Memorandum Sokongan Rakyat N. Sembilan terhadap Raja Melayu



6hb. Dis. 2008. Jam 9.00 malam.

Lebih 300 orang anak watan Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Tuan Hj. Muhamad Kamel Yassin ( Ketua Bahagian Rasah ) bersama Saudara Sabaruddin Mohamad Yassin Setiausaha Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan serta Chegu Bad telah berhimpun di Kompleks Bunga Raya KLIA menyambut keberangkatan pulang ke tanah air DYMM Tuanku Jaafar ibn Almarhum Tuanku Abd. Rahman dan DYMM Tuanku Permaisuri Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Turut menyambut kepulangan baginda Yamtuan Besar Negeri Sembilan ialah YB Chai Tong Chai ADUN Chuah, YB Rashid bin Latif ADUN Ampangan, YB Mohamad Taufek Abd. Ghani ADUN Paroi, YB Ravi a/l Munusamy ADUN Port Dickson, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Saudara Zulkifli Omar serta rakyat Negeri Sembilan dari keturunan China dan India.

DYMM Tuanku Jaafar telah memperkenan menerima Memorandum Menyokong Kedaulatan dan Kekebalan Raja-raja Melayu Dikembalikan. Memoradum sokongan itu telah dipersembahkan kepada duli tuanku oleh Tuan Hj. Mohamad Kamel Yassin.

DYMM Tuanku Jaafar begitu gembira mencemar duli bersalaman dengan hampir semua anak Negeri Sembilan yang hadir.

Memorandum yang dipersembahkan menyatakan sokongan kepada titah YAM Tunku Naquiyuddin Ibn Tuanku Jaafar Pemangku Yamtuan Besar Negeri Sembilan supaya Kedaulatan dan Kekebalan Raja-raja Melayu dikembalikan, bagi memperkasa daulat kerajaan beradat. Turut terkandung didalam memorandum itu ialah petikan ucapan Dato' Sri Wan Azizah Presidan Parti PKR dan Dato' Sri Anwar Ibrahim Ketua Umum PKR.