Thursday, December 11, 2008

MEMORANDUM MENYOKONG KEDAULATAN DAN KEKEBALAN RAJA-RAJA MELAYU DIKEMBALIKAN

    DAULAT TUANKU

      MEMORANDUM MENYOKONG KEDAULATAN DAN KEKEBALAN RAJA-RAJA MELAYU DIKEMBALIKAN

    Ampun Tuanku,

      Bahawa patik Muhamad Kamel bin Yassin mewakili rakyat anak watan Negeri Sembilan Darul Khusus menjunjung kasih mengucapkan selamat kembali ke tanah air dan sayugia hendaknya DYMM Tuanku bersama DYMM Tuanku Permaisuri sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t.

      Daulat Tuanku,

      Mohon dirafa’kan sembah bahawa kami rakyat yang bernaung di bawah payung kebesaran DYMM Tuanku menyokong sepenuhnya titah anakanda tuanku YAM Tunku Naquiyuddin Ibn Tuanku Ja’afar melalui Ceramah Jamuan Tengahari Diraja di Kuala Lumpur baru-baru ini. YAM Tunku Naquiyuddin bertitah supaya Kekebalan Raja-raja dikembalikan demi kedudukan dan kedaulatan Raja-raja.

      Mohon patik menyatakan di dalam Kongres Kali Kelima Parti Keadilan Rakyat di Shah Alam pada 28hb November 2008 yang lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato’ Sri Wan Azizah Dato’ Wan Ismail melalui ucapan dasarnya telah menyatakan kesediaan untuk mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu yang berteraskan semangat Raja Berpelembagaan.

      Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Dato’ Sri Anwar Ibrahim di dalam ucapan penutup Kongres Parti Keadilan Rakyat itu turut menyatakan kedaulatan dan imminuiti Raja-raja Melayu hendaklah dikembalikan semula kepada baginda Raja-raja.

      Ampun Tuanku,

      Demi mengembalikan kedaulatan dan kebesaran Raja-raja Melayu patik bersama sekelian hamba rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus mohon perkenan ke bawah duli Tuanku untuk menggerakkan usaha mengembalikan kekebalan dan kedaulatan Raja-raja seluruhnya sesuai dengan konsep Raja Berpelembagaan.

      Kami hamba rakyat tuanku mohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, dan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku mencemar duli menerima warkah ini.

      DAULAT TUANKU.


      Muhamad Kamel bin Yassin PJK. PMC.

      Tarikh : 6 hb Disember 2008

No comments: