Monday, August 1, 2011

PRU 13: Pertandingan banyak penjuru di Negeri Sembilan?

Tanpa perlu mukadimah berjela, dijangka pada PRU-13 akan datang akan berlaku pertandingan lebih daripada tiga penjuru di beberapa dun dan parlimen dalam Negeri Sembilan.


Parti Hak Asasi Manusia (HRP-Human Right Party) yang berteraskan kaum India dalam kenyataan laman web rasminya pada 22 Jun 2011 telah menyatakan akan bertanding di tujuh dun dan dua parlimen. Sasaran HRP jelas dengan bertumpu dan bertanding di kawasan-kawasan yang mempunyai peratus pemilih India yang tinggi.

Secara keseluruhan, dun-dun yang bakal ditandingi berasaskan tumpuan tersebut adalah Jeram Padang (37.99%), Nilai (22.57%), Senawang (23.84%), Rantau (27.51%), Port Dickson (28.83%), Repah (20.05%) dan Rahang (21.42%). Manakala dua kawasan parlimen tersebut adalah Telok Kemang (21.90%) dan Rasah (21.77%).


Adun Port Dickson, Ravi Munusamy

Turut dikhabar akan meletakkan calon dan bertanding di kawasan-kawasan ini adalah Parti Makkal Sakhti. Jika dilihat pada fokus parti-parti berasaskan kaum India ini, sasaran mereka adalah kawasan-kawasan dun yang diwakili dan disandang oleh wakil rakyat berbangsa India (melainkan Nilai dan Rantau). Kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya kesemua parti tersebut nekad bertanding, sebagai contohnya di dun Port Dickson akan menyaksikan pertandingan sengit antara calon MIC, PKR, HRP, Makkal Sakhti dan mungkin satu-dua calon bebas.

Dun Port Dickson seakan bakal menjadi persaingan kredibiliti antara parti-parti berasaskan kaum India (kecuali PKR).


Adun Senawang, P.Gunasekaran

Kemungkinan situasi yang sama turut berlaku di dun Senawang bakal menyaksikan pertembungan antara DAP-MCA-HRP-Makkal Sakhti. Lima lagi dun iaitu Rahang, Nilai, Repah, Jeram Padang dan Rantau dijangka berlaku pertandingan tiga penjuru.

Adun Rahang, M.K. Arumugam

Seandainya pertembungan sebegini berlaku, dijangka akan berlaku pemecahan undi-undi pemilih India. Apakah mungkin terjadi kemenangan mana-mana parti khususnya di Port Dickson dalam kelebihan terkecil? Apakah mungkin berlaku calon bebas bukan India yang memenangi dun tersebut? Itu tidak mustahil untuk terjadi kerana dalam politik tiada istilah itu!

No comments: