Monday, August 1, 2011

PRU 13: Pertandingan banyak penjuru di Negeri Sembilan?

Tanpa perlu mukadimah berjela, dijangka pada PRU-13 akan datang akan berlaku pertandingan lebih daripada tiga penjuru di beberapa dun dan parlimen dalam Negeri Sembilan.


Parti Hak Asasi Manusia (HRP-Human Right Party) yang berteraskan kaum India dalam kenyataan laman web rasminya pada 22 Jun 2011 telah menyatakan akan bertanding di tujuh dun dan dua parlimen. Sasaran HRP jelas dengan bertumpu dan bertanding di kawasan-kawasan yang mempunyai peratus pemilih India yang tinggi.

Secara keseluruhan, dun-dun yang bakal ditandingi berasaskan tumpuan tersebut adalah Jeram Padang (37.99%), Nilai (22.57%), Senawang (23.84%), Rantau (27.51%), Port Dickson (28.83%), Repah (20.05%) dan Rahang (21.42%). Manakala dua kawasan parlimen tersebut adalah Telok Kemang (21.90%) dan Rasah (21.77%).


Adun Port Dickson, Ravi Munusamy

Turut dikhabar akan meletakkan calon dan bertanding di kawasan-kawasan ini adalah Parti Makkal Sakhti. Jika dilihat pada fokus parti-parti berasaskan kaum India ini, sasaran mereka adalah kawasan-kawasan dun yang diwakili dan disandang oleh wakil rakyat berbangsa India (melainkan Nilai dan Rantau). Kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya kesemua parti tersebut nekad bertanding, sebagai contohnya di dun Port Dickson akan menyaksikan pertandingan sengit antara calon MIC, PKR, HRP, Makkal Sakhti dan mungkin satu-dua calon bebas.

Dun Port Dickson seakan bakal menjadi persaingan kredibiliti antara parti-parti berasaskan kaum India (kecuali PKR).


Adun Senawang, P.Gunasekaran

Kemungkinan situasi yang sama turut berlaku di dun Senawang bakal menyaksikan pertembungan antara DAP-MCA-HRP-Makkal Sakhti. Lima lagi dun iaitu Rahang, Nilai, Repah, Jeram Padang dan Rantau dijangka berlaku pertandingan tiga penjuru.

Adun Rahang, M.K. Arumugam

Seandainya pertembungan sebegini berlaku, dijangka akan berlaku pemecahan undi-undi pemilih India. Apakah mungkin terjadi kemenangan mana-mana parti khususnya di Port Dickson dalam kelebihan terkecil? Apakah mungkin berlaku calon bebas bukan India yang memenangi dun tersebut? Itu tidak mustahil untuk terjadi kerana dalam politik tiada istilah itu!

Program 100 Hari Pakatan Rakyat


(Sila klik di sini untuk muat turun Program 100 Hari Pakatan Rakyat)

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:

1. Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

3. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.

6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

8. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.

10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.