Monday, August 1, 2011

BN menerus dasar pecah-perintah kaum India melalui parti politik


'MIC bantah keahlian penuh parti serpihan dalam BN'

Itu adalah tajuk berita yang dilaporkan dalam Malaysiakini.com semalam. Jelas sekali Malaysian Indian Congress (MIC) telah mula menyedari niat BN melalui dominasi gerombolan Umno sentiasa berusaha melaksanakan 'dasar pecah-perintah' ke atas kaum India di negara ini melalui politik.

Mengapa ini berlaku? Jawapannya mudah adalah untuk terus mengukuhkan dominasi Umno dalam BN dengan melemahkan pengaruh politik kaum India dengan mewujudkan parti-parti berasaskan kaum India. Mungkin kenyataan itu agak rambang tetapi jika dilihat dari penghayatan politik, secara tidak langsung parti-parti tersebut ditaja secara belakang tabir oleh BN.

MIC diwujudkan seiring keberadaan Umno dan MCA yang dilaksanakan secara licik oleh penjajah British untuk menjadi 'kuasa politik kanan' melawan arus kuasa politik rakyat yang kuat ketika itu yang dianggotai oleh barisan bersatu AMCJA-PUTERA untuk menuntut kemerdekaan negara dengan perlembagaan rakyat yang dibentuk.

Penyatuan padu 'kuasa politik kiri' yang dilihat kukuh mengancam British telah menyuntik idea pihak penjajah itu merangka politik perkauman (racial politics) sebagai langkah 'dasar pecah-perintah' rakyat negara ini mengikut ras perkauman. Kewujudan ruang politik sebegini akan memudahkan pihak British melaksana dan merangka strategi pengukuhan pengaruh secara tidak langsung walaupun Malaya 'dimerdekakan'.

Maka politik perkauman ini akan disulami dengan elemen keagamaan, kuasa ketuanan bangsa dan lain-lain isu sensitif yang menjadi bom jangka masa panjang sebagai peledak pemusnah masa depan negara ini.

Tsunami Politik 2008 telah membawa perubahan sokongan kaum India dengan berganjak dari menyokong BN dan memberi sokongan itu kepada PR. Perubahan itu telah menjadikan rakyat kembali kepada suasana untuk memahami perbezaan budaya, fahaman agama dan cara hidup untuk membentuk kembali persefahaman antara kaum sebagai rakyat sebuah negara.

Jika dahulu MIC seakan mendominasi politik kaum India dalam BN, namun selepas tahun 2008 kemunculan beberapa parti berasaskan kaum India seakan diberi 'sokongan secara tak langsung' oleh BN yang dikira sebagai isyarat politik menolak peranan MIC iaitu Parti Makkal Sakhti dan HRP (walaupun mengakui parti multi-racial tetapi kebanyakan jawatankuasa pimpinan utama adalah berasakan kaum India.)


Sebelum itu juga telah wujud IPF dan MIUP yang dipimpin oleh Nalla Karuppan (beliau sendiri pernah terlupa nama parti sendiri!). Kimma juga adalah parti berasaskan kaum India-Muslim dan kini merupakan anggota bersekutu Umno.

Tawaran politik yang disogokkan oleh BN menjadikan parti-parti tersebut berusaha menyaingi MIC. Memang tidak salah kepada individu-individu dalam parti-parti tersebut untuk menubuhkan pertubuhan politik sebegitu namun ia adalah satu kerugian besar kepada kaum India dan seluruh rakyat negara ini kerana ia akan terus menjadi 'peledak' perkauman masa depan. Sebagai masyarakat kecil tetapi ia telah dipecahkan oleh politik BN melalui kewujudan parti-parti politik kaum India.

Kerugian itu boleh diambil contoh sebagaimana yang pernah diheboh-kecohkan oleh Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Padang Serai yang melompat dari PKR yang menuduh PKR didominasi 70 peratus kaum Melayu dalam barisan kepimpinan utamanya. Itu adalah salah satu 'kerosakan minda' yang dipengaruhi oleh sentimen perkauman. Sedangkan dalam organisasi, PKR dianggaotai oleh pelbagai kaum dengan 56 peratus Melayu dan selebihnya dianggotai oleh lain-lain kaum iaitu Cina, India, Orang Asal, Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Keupayaan PKR mendapat sokongan dan undi seluruh rakyat termasuk kaum India pada PRU 2008 lalu telah mengejutkan BN khususnya Najib Razak sendiri kerana beliau paling lantang menyatakan PKR bakal berkubur pada PRU 2008. Namun sebaliknya telah berlaku.

Politik ini seperti perniagaan. Jika hendak barangan atau jualan laku, ia perlu mendapat sokongan daripada semua orang bukan hanya sekelompok pihak. Mungkin perniagaan itu berjalan tetapi tidak mendapat keuntungan yang banyak kerna segelintir yang membeli.

Inilah pandangan dan ulasan semata-mata. Jika ada pandangan & pendapat sebagai membetulkan persepsi adalah digalakkan untuk membentuk perspektif positif memahami politik secara timbang rasa.

Tuesday, April 26, 2011

Syak Wasangka pemusnah sebuah kesatuan!

Persoalan yang kerap dilontarkan kebanyakan anggota parti adalah; bolehkah anggota parti berkawan dengan ahli parti lain?

Ia persoalan umum dan jawapannya umumnya boleh dan tidak salah. Namun, sikap syak wasangka yang keterlaluan, bersifat kebudak-budakan dan tidak befikir secara bijak lagi strategik telah menjadikan naluari manusia untuk berkawan, berhubung dan bermasyarakat membataskan keperluan tersebut!

Adakah salah jika seseorang Ketua Ranting, AJK atau anggota biasa berkawan dengan orang-orang kampungnya yang diketahui ahli Umno yang memegang jawatan dalam organisasi tersebut? Sikap itulah yang sebenarnya harus diperbetulkan kerana SYAK WASANGKA melampau lah yang membunuh keperluan strategik atau bahasa mudahnya 'merosakkan rancangan' kerana kurang berfikir secara bijak.

Untuk menang dan mencapai kejayaan khususnya dalam pilihanraya, perkara utama adalah mendapatkan undi. Bagaimana harus mendapatkan undi? Pelbagai kaedah dan cara boleh dilakukan. Kaedah mudah, bermaruah dan berhemah adalah berhubung secara baik sesama masyarakat tanpa mengira ideologi politik. Akan tetapi niat harus ikhlas membantu mana yang mampu lagi terdaya tanpa menabur janji-janji manis yang tidak boleh dikotakan.

Semua orang boleh menuduh sesama lain dengan melemparkan tohmahan-"dia itu agen", 'dia itu pengkhianat', 'aku lebih tahu siapa dia...bla..bla..' tetapi mana buktinya? Mana hujahnya?

Dalam keadaan pimpinan dan organisasi lawan yang kian bermasalah khususnya di Labu, seharusnya semua anggota bangkit bersatu membuat kerja dan gerakan menyakinkan rakyat kepada keupayaan Parti untuk mentadbir negeri.

Lebih bermaruah, jika kita mengaku kita adalah anggota dari era Reformasi...berhujahlah , bekerjalah dan bercakaplah secara berdepan lagi bijaksana tanpa perlu menjadi bacul melemparkan kecaman-kecaman ala penakut di alam siber. Musuh sendiri sedang kucar-kacir berbanding PKR, itulah ruang yang harus bijak digunakan. Bukan terus menjadi budak jahat yang sedang merosakkan organisasi!

Tuesday, December 21, 2010

Haji Kamel masih Ketua Cabang Rasah yang sah!

Selepas Cabang Rasah melalui proses pemilihan demokrasi pada 18 Oktober 2010 lalu, saudara Haji Muhammad Kamel Yassin telah dipilih oleh anggota Cabang Rasah sebagai ketua.

Usaha beberapa individu tertentu dalam Cabang Rasah yang cuba menafikan kedudukan saudara Haji Kamel sebagai Ketua Cabang Rasah yang sah dan dipilih melalui proses pemilihan telah dijalankan melalui Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) pada 19 Disember 2010 bertempat di sebuah restoran di Rahang.

Sehingga kini Ibu Pejabat tidak membuat tindakan dan memberi respon kepada EGM tersebut kerana Pemilihan Cabang Rasah yang berlangsung pada 18 Oktober 2010 tersebut telah dijalankan dengan adil dan secara langsung mengiktiraf keputusan pemilihan tersebut.

EGM yang dijalankan itu difahamkan TIADA sebarang wakil dari Pusat, MPN Negeri Sembilan dan pemantau. Ini bermakna EGM itu boleh dianggap tidak sah dan sebarang keputusan yang berlaku di dalam mesyuarat tersebut TIDAK sekali menjejas-gugat kedudukan saudara Haji Kamel sebagai Ketua Cabang Rasah yang sah.

Wednesday, March 3, 2010

KELUAR PARTI DAN MEMBURUKKAN KEPIMPINAN SATU PENGKHIANATAN




Pengkhianat terhadap Parti dan perjuangan! Itulah saja gelaran yang layak untuk mereka bertiga dan sesiapa juga yang menyokong mereka. Keadilan Cabang Rasah berdiri teguh bersama-sama pimpinan Keadilan yang lain diperingkat Cabang dan Negeri dalam menyokong kepimpinan DSAI dan seluruh barisan pimpinan yang setia dengan Parti.