Friday, October 9, 2009

Takziah buat Sdr Sabaruddin...

Seluruh AJK dan anggota Cabang Rasah merakamkan ucapan takziah kepada Sdr Sabaruddin Mohd Yassim, Naib Ketua Cabang Rasah dan keluarga di atas pemergian putera sulung beliau.

Kami turut merasai kesedihan yang dialami oleh beliau dan famili. Semoga roh anakanda beliau ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman. Al fatihah.

Cabang Rasah Menerajui Jentera Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang

Ketua Cabang Rasah, Tuan Haji Muhammad Kamel sedang meneliti hasil culaan pengundi luar yang dibuat oleh (dari kiri) Sdr Rahim Omar (ketua Ranting Mambau), Sdr Ahmad Al-Jufrey, Sdr Mohd Noor dan Ustazah Siti Maimun (Ketua Wanita Rasah)
Taklimat Gerak Kerja Pilihanraya oleh Tuan Haji Muhammed Kamel, Pengarah Pilihanraya Negeri Sembilan. Disebelah beliau adalah YB Fuziah Salleh, Pengarah Biro Latihan Pusat.

Kunjungan hormat YB Sivakumar, Timbalan Speaker DUN Perak (berdiri no. 4 dari kiri) ke Bilik Gerakan Utama

Kunjungan hormat YB Dominique Ng, ADUN N9 Padungan, Bandar Kuching, Sarawak
Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang sekali lagi menyaksikan Cabang Rasah memainkan peranan penting di dalam mengendalikan jentera pilihanraya Keadilan. Kempen PRK yang telah masuk hari ke-7 telah menyaksikan berbagai insiden panas dengan pihak BN sekali lagi menggunakan tektik keganasan dan ugutan disamping penyalahgunaan jentera kerajaan.
Ketua Cabang Rasah, Tuan Haji Muhammad Kamel telah diberi mandat selaku Pengarah Jentera Pilihanraya Negeri. Disamping beliau, antara anggota Cabang Rasah yang telah dilantik di dalam sekretariat utama adalah YB Chai Tong Chai, Sdr Sabaruddin, Sdr Saedi, Sdr Marvin, Sdr Hasnul dan Sdr Zulrisyah. Anggota Cabang Rasah yang lain turut bertungkus lumus membantu jentera. Antaranya adalah Sdr Siva (Ranting Taman Pulasan), Sdr Kevin, Sachi, Vicky, Mani (Ranting Bukit Mas), Sdr Rahim, Yusof (Ranting LBJ), Sdr Rahim Omar, Ustazah Siti Maimun, Sdr Mohd Noor, Sdr Ahmad Al-Jufrey, Sdr Mustafa Kamal, Sdr Zamri, Sdr Isaac, Sdr Norliziam (Ranting Mambau) dan lain-lain (maaf jika nama sdr/i tidak disebut, tetapi kami yakin sumbangan anda sungguh bermakna).

Melihat daripada sambutan dan kerjasama ini, kita berasa yakin jentera pilihanraya Rasah khususnya DUN Labu semakin mantap dan bersedia untuk merampas kerusi DUN Labu dari UMNO-BN!

Wednesday, September 16, 2009

Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang

Keadilan Cabang Rasah telah diamanahkan untuk mengetuai Jawatankuasa Daerah Mengundi 1(JDM) Ladang Atherton. Bilangan pengundi adalah seramai 516 orang di mana 90% adalah dari kaum India.
Sdr Marvin Madahvan telah dilantik sebagai ketua JDM dan Sdri Shamsiah selaku Setiausaha. JDM 1 juga akan turut dibantu oleh jentera Keadilan Perak yang diketuai oleh Tuan Hj Ismail Yusof. Parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS dan DAP Rasah akan turut bersama bertugas di JDM1.
Sekali lagi kami ingin mengajak seluruh anggota Keadilan Rasah khususnya untuk sama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan dari segi tenaga, masa dan wang ringgit bagi memastikan kejayaan calon Pakatan Rakyat.

Monday, September 7, 2009

Majlis Berbuka Puasa di Labu Hilir




6 Sep, 2009 - Majlis Berbuka Puasa Cabang Rasah telah diadakan di rumah Ketua Ranting Labu Hilir, Sdr Mohamad. Setelah menghabiskan hampir separuh hari menziarahi rumah penduduk-penduduk di sekitar Labu Hilir bagi menyampaikan bantuan, kami telah dijamu dengan juadah berbuka yang cukup istimewa disediakan oleh isteri Sdr Mohamad.

Majlis berbuka ini sepatutnya diadakan di Masjid Labu Hilir bersama dengan penduduk dan ahli kariah masjid. Walaubagaimanapun ianya terpaksa di tukar di saat-saat akhir ke rumah Sdr Mohamad setelah wujudnya halangan dari pihak-pihak tertentu. Menurut Tuan Haji Mohamad Kamil, beliau amat kesal kerana sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, masih ada golongan pimpinan tertentu yang cuba mempolitikkan masjid.


Setelah selesai berbuka, kami telah bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diketuai oleh Sdr Mohamad Yusof dari Angkatan Muda Keadilan Ranting LBJ. Beliau juga merupakan graduan Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan mantan pensyarah di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam.


Sebelum pulang, kami juga sempat mengadakan Mesyuarat Pengurusan Setiausaha Cabang dan Ranting. Berbagai isu dan maklumat telah dikongsi.


Bagi pihak pimpinan Cabang Rasah, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Sdr Mohamad dan keluarga. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Haji Mohamad Kamil yang telah sudi menaja sumbangan bantuan Ramadhan kali ini. Tidak dilupakan ucapan ribuan terima kasih di atas sumbangan beras oleh YB Dato' Kamarul Baharin, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan.


Kepada seluruh pimpinan dan Anggota Cabang Rasah, kami berharap program ini akan meningkatkan lagi keazaman dan komitmen kita untuk terus membantu rakyat. Semoga segala usaha kita diberkati oleh Allah SWT.



Bantuan Sempena Ramadhan Al-Mubarak - Siri 2

6 Sep, 2009 - Keadilan Cabang Rasah meneruskan lagi siri ke 2 ziarah dan bantuan untuk golongan yang kurang bernasib baik. Rombongan telah melawat penduduk di sekitar kawasan Kampung Kondok, Rumah Rakyat Labu Hilir, Kampung Labu Hilir, Batu 10 dan Batu 8. Ternyata masih ramai rakyat yang masih dibelenggu oleh kemiskinan di DUN Labu walaupun negara telah merdeka selama 52 tahun!
Berikut adalah foto-foto yang sempat dirakamkan;











Saturday, September 5, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang

Ucapan takziah dari kami kepada keluarga YB Azman Mohd Noor di atas pemergian Allahyarham...Al Fatihah...semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Akhirnya setelah 8 pilihanraya kecil di negeri orang, kali ini kita bakal menjadi tuan rumah. Pilihanraya Kecil ke-9, di Negeri 9, Bulan 9, tahun 2009!
Keadilan Cabang Rasah sekali lagi akan menghantar petugas (kali ini pasti lebih ramai!) bagi memastikan kemenangan mana-mana calon yang diputuskan oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Kita cuma perlu lagi 4 kerusi DUN untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan!
Disamping itu, harapan kita dengan adanya Pilihan Raya Kecil ini akan memberi peluang untuk Cabang Rasah mengumpul aktivis keadilan yang bakal dilatih seterusnya untuk menawan DUN Labu. Yang lebih penting semoga sebarang perbezaan dan salah faham sesama anggota Cabang Rasah dapat dileraikan dan kita kembali bersatu sebagai sebuah keluarga.
Selamat berjuang! Lawan Tetap Lawan!

Thursday, September 3, 2009

Program Cabang Turun ke Ranting Mambau




30 Ogos, 2009 - Usaha untuk mengukuhkan Cabang Rasah telah diteruskan dengan program bersama pimpinan dan anggota PKR Ranting Mambau. Majlis yang bermula pukul 9.45 mlm bertempat di rumah Ketua Ranting Mambau, Saudara Rahim Omar turut dihadiri oleh kira-kira 20 orang anggota Ranting. Turut hadir adalah AJK Cabang serta pimpinan dari Ranting LBJ dan Seremban Jaya. Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pimpinan Cabang dan anggota di peringkat Ranting. Disamping itu ianya telah berjaya mengenal pasti permasalahan yang berlaku di peringkat ranting. Melalui usaha ini juga diharapkan maklumat berkaitan dengan parti dan isu-isu semasa dapat diperjelaskan kepada akar umbi. Program ini telah diakhiri dengan jamuan makan sempena menyambut Kemerdekaan ke-52 yang disediakan oleh Ustazah Siti Maimun, yang juga merupakan Ketua Wanita Cabang Rasah. Sekalung tahniah dan syabas kepada pimpinan Ranting Mambau dan seluruh anggota atas kejayaan menganjurkan program ini.